Gavin Green Layak Ke Sukan Olimpik Tokyo

Spread the love

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Pemain golf profesional negara Gavin Kyle Green secara rasminya layak untuk bertanding mewakili negara di Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan. 

Persatuan Golf Malaysia (MGA) dalam satu kenyataan hari ini berkata Gavin yang kini berada di Jerman melakukan persiapan untuk Terbuka Antarabangsa BMW hujung minggu ini berjaya melayakkan diri setelah menduduki ranking ke-56 daripada 60 pemain golf dalam Ranking Olimpik di akhir tempoh kelayakan semalam.

Sukan Olimpik Tokyo merupakan penampilan keduanya di acara sukan terbesar dunia selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Mewakili negara sememangnya satu penghormatan buat saya dan melakukannya di peringkat Olimpik untuk kali kedua adalah lebih istimewa. Saya memang menantikan saat ini,” kata pemain berusia 27 tahun itu dalam kenyataan itu. 

Gavin Kyle Green

Menurut kenyataan itu, Gavin mengumpul mata dengan konsisten daripada Jelajah Eropah sebaik sahaja pertandingan jelajah itu bermula selepas sekatan perjalanan di seluruh dunia berikutan pandemik COVID-19 awal tahun ini dan pencapaian terbaiknya ialah tempat ketiga di Antarabangsa Saudi, Februari lepas.

Pada masa sama, MGA berkata adalah “selamat” untuk mengatakan seorang lagi pemain golf negara, Kelly Tan, 27, akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo buat kali kedua berturut-turut dan pada masa ini beliau berada dalam keadaan selesa di kedudukan ke-41 Ranking Olimpik di hadapan tarikh akhir penentuan pada 28 Jun ini. 

“Mereka bekerja keras biarpun berhadapan cabaran semasa pandemik untuk mengekalkan dan memperbaiki kedudukan dalam Ranking Olimpik bagi melayakkan diri buat kali kedua,” kata Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dalam kenyataan itu. 

“Pasukan saya dan saya sendiri di MGA mengucapkan setinggi tahniah kepada Gavin Green dan Kelly Tan kerana bersungguh-sungguh mengumpul mata untuk melayakkan diri mereka ke Olimpik Tokyo,” katanya lagi.  

Mohd Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan di atas geran yang diberikan kepada kedua-dua atlet.

Pertandingan golf Olimpik Tokyo akan berlangsung di  Kasumigaseki Country Club, Saitama, dari 29 Julai hingga 1 Ogos untuk lelaki dan dari 4 hingga 7 Ogos bagi wanita.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *