39,895 Dos Vaksin Diberikan Di Eempat Daerah Pedalaman Sabah

Spread the love

KOTA KINABALU, 22 Jun (Bernama) — Sebanyak 39,895 dos vaksin COVID-19 diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman di daerah Keningau, Nabawan, Tenom dan Tambunan hingga 18 Jun lepas, bagi melindungi penduduk di lokasi berkenaan daripada dijangkiti virus itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah dos itu, sebanyak 28,140 melibatkan pemberian dos pertama manakala 11,755 adalah pemberian dos kedua.

Beliau berkata hingga Jumaat lepas itu juga, sebanyak 306,280 dos pertama dan 122,485 dos kedua vaksin itu diberikan kepada seluruh penduduk negeri ini.

“Bagi kawasan terpencil di pedalaman Sabah yang kurang akses kepada perhubungan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Daerah akan mengadakan program outreach secara berkala bagi memastikan penduduk di kawasan tersebut mendaftar dan mendapatkan vaksin.

“Kempen kesedaran vaksin juga terus ditingkatkan di kawasan tersebut melibatkan Jabatan Penerangan, KKM dan Pejabat Daerah bagi memastikan masyarakat faham mengenai kepentingan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata setakat ini lima pusat pemberian vaksin dibuka di kawasan parlimennya, dengan terbaharu di Dewan Masyarakat Sook yang mula beroperasi semalam dan dijangka dapat mencapai kapasiti hingga 400 dos sehari.

“Lima PPV sedang beroperasi itu ialah Dewan Masyarakat Sook, Klinik Kesihatan Nabawan, Balai Budaya Salarom Taka, Klinik Kesihatan Pagalungan dan Klinik Kesihatan Pensiangan. PPV ini dapat meningkatkan vaksinasi dalam kalangan rakyat khususnya di pedalaman Sabah dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga membuat permohonan kepada Jawatankuasa Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi membuka sebuah lagi PPV di daerah Nabawan iaitu di Dewan Masyarakat Nabawan untuk menampung bilangan penduduk yang ramai.

Katanya proses pemberian vaksin di Sabah berjalan lancar dan bagi mengekalkan momentum proses tersebut, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) diminta agar memberi pertimbangan untuk menghantar lebih banyak bekalan vaksin ke negeri ini.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *