Geng Jaya Tumpas Di Tangan PDRM Sibu

Spread the love

SIBU: Geng jaya yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi di bandar Sibu sejak tahun 2019, tumpas di tangan Polis Diraja Malaysia PDRM.

Ia susulan empat individu termasuk dalang serta pembeli barangan curi itu ditahan dalam 18 serbuan berasingan di sekitar Daerah itu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata hasil risikan dan operasi berterusan, seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun yang juga merupakan ketua geng itu berjaya dikesan pihak polis pada 30 Mei yang lalu.

Seorang wanita berusia 24 tahun dan rakan suspek berusia 35 tahun serta pembeli barangan curi yang merupakan seorang lelaki berumur 31 tahun turut ditahan.

Kesemua suspek kini dalam tahanan reman dan siasatan masih diteruskan termasuk mengesan barang kes.

Dalam pada itu, ACP Stanley menjelaskan geng ini telah melakukan sekurang-kurangnya 20 kes pecah rumah dan curi sejak 2019 sehinggalah mereka tertangkap.

Setakat ini pihak polis telah berjaya mengesan dan merampas banyak barang hasil curi geng terbabit termasuk dua unit telefon bimbit, 16 utas jam tangan, sebuah kereta, sebuah motosikal, sebuah enjin motosikal, satu set rim motosikal, dua rangkai kunci kenderaan dan enam unit televisyen.

Selain itu turut dirampas adalah C-P-U omputer, komputer riba, beg tangan wanita, mata wang tempatan dan asing, subang emas, gelang, barangan perhiasan wanita, kasut, minuman keras serta pelbagai jenis beg dengan nilai keseluruhan kira-kira RM50,000.

Geng terbabit menyasarkan rumah mewah yang tidak berpenghuni dan terletak di lokasi terpencil.

Stanley juga berkata mereka akan cabut fius meter elektrik rumah yang mereka sasarkan sebelum pecah masuk dan curi. Mereka gunakan peralatan seperti tukul, pemotong besi, pemutar skru dan besi yang diubah suai untuk pecah masuk.

Hasil kecurian akan disimpan di sebuah rumah yang didiami rakan sejenayah sebelum dijual kepada individu lain.

Justeru polis meminta mana-mana orang awam yang pernah membuat laporan berkenaan kejadian sedemikian untuk datang ke pejabat bahagian siasatan jenayah balai polis sentral sibu untuk tujuan pengecaman barang kes.

Katanya orang ramai juga boleh menghubungi balai polis terdekat atau inspektor Kumareswaran Murugan di talian 013-8024313.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *