Hanya 2% Hingga 3% Temu Janji Vaksinasi Dibatalkan Di PPV BCCK

Spread the love

KUCHING: Hanya 2% hingga 3% sahaja temu janji vaksinasi dibatalkan di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di bawah kendalian Public Medicare Group (PMG).

Menurut Presiden PMG, Dr Arnold Lee Leong Chai, sebanyak 14,221 dos pertama vaksin AstraZeneca sudah diberikan setakat ini kepada penerima vaksin sejak 7 jun lepas.

“Data kami menunjukkan sebanyak 2% hingga 3% yang terpaksa dibatalkan temu janji atas sebab-sebab penerima vaksin berada dalam keadaan yang kurang sihat, penerima berkenaan tidak mempunyai pengangkutan untuk pergi ke BCCK kerana lokasi mereka terlalu jauh dan ada juga antara mereka yang baru sahaja sembuh daripada COVID-19, selepas positif wabak tersebut dalam sebulan yang lepas,” katanya ketika ditemui TVS, pada Sabtu.

Presiden PMG, Dr Arnold Lee Leong Chai

Ada juga antara penerima yang menghadapi kesukaran untuk menghadiri slot vaksinasi disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan mereka.

Mengulas lanjut, Dr Arnold turut menafikan dakwaan bahawa pemberian vaksin di PPV BCCK kurang mendapat sambutan.

Katanya, dakwaan ini timbul mungkin kerana ada dalam kalangan penerima yang menghadiri slot masing-masing bukan pada waktu kemuncak selain keluasan PPV BCCK yang luas dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Setakat ini jumlah harian tertinggi bagi penerima yang hadir di PPV bawah kendalian PMG Adalah seramai 1,580 sehari.

Sehubungan itu, Naib Presiden PMG, Dr Albert Lee Kah Hwan menyeru kepada orang ramai untuk mengambil suntikan vaksin masing-masing pada masa yang telah ditetapkan.

“Apa yang penting sekarang adalah setiap orang perlu melaksanakan tugas masing-masing untuk mendapatkan vaksin tanpa mempersoalkan apa jenis vaksin yang akan disuntik sama ada Pfizer-Biontech, Sinovac mahupun AstraZeneca.

“Semua vaksin ini berkesan dan orang ramai digalakkan untuk menerimanya sahaja seperti yang sudah dipilih oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya sambil menambah vaksinasi merupakan langkah untuk setiap individu melindungi diri dan keluarga.

Naib Presiden PMG, Dr Albert Lee Kah Hwan

Sementara itu, Pusat Perubatan Borneo (BMC) yang juga merupakan organisasi kesihatan yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan vaksinasi di PPV BCCK selain PMG, telah merekodkan sekurang-kurangnya 15,000 penerima dos pertama vaksin AstraZeneca.

Menurut Pengurus Eksekutif BMC, Dr Kenneth Tan, bagi temu janji yang dibatalkan pula, pihaknya telah merekodkan sekurang-kurangnya 100 slot akibat daripada masalah kesihatan penerima.

Namun begitu, BMC berjaya merekodkan jumlah harian tertinggi penerima yang hadir iaitu seramai 1,500 sehari.

Kata Dr Kenneth lagi, setakat ini belum ada lagi aduan tentang kesan sampingan yang kritikal dari penerima vaksin di bawah kendalian BMC.

“ Orang ramai agak risau tentang vaksinasi kerana kesan sampingannya, namun setakat ini seramai 15,000 orang yang sudah menerima vaksin dari kami belum ada lagi yang menunjukkan kesan sampingan yang serius sehingga perlu dirujuk ke hospital. Jadi pada pendapat saya, mereka tidak perlu terlalu risau,” ujarnya.

Pengurus Eksekutif BMC, Dr Kenneth Tan
Tags: #bm, bcck, BMC, PMG, ppv, vaksin

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *