Kejayaan SPM Anak Desa Balas Pergorbanan Bapa

Spread the love

PERKATAAN ‘bangga’ mungkin tidak cukup bagi seorang bapa untuk menggambarkan perasannya apabila anak sulung beliau berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Peluh keringat si bapa, Najor Saili, 49, membanting tulang membuat pelbagai kerja sendiri di samping menangkap ikan untuk menyara keluarga akhirnya membuahkan hasil apabila anak beliau, Siti Suraya Najor, 18 membalas jasanya dengan menghadiahkan 8A dalam SPM.

“Saya bersyukur atas kecemerlangan Siti Suraya dan penat lelah saya selama ini tidak sia-sia,” kata Najor.

Menyedari kehidupan keluarganya yang serba kekurangan, Siti Suraya Najor nekad belajar bersungguh-sungguh agar dapat mengubah nasib keluarganya.

Walaupun terpaksa mengharungi pelbagai kekangan dari segi kelajuan Internet dan talian telefon yang lemah yang acapkali menggangu proses pembelajaran, Siti Sarah tidak menjadikan semua itu sebagai alasan untuk tidak cemerlang.

Berbekalkan keputusannya itu, Siti Suraya berhasrat mengorak langkah ke menara gading dan mencapai impiannya menjadi seorang peguam atau pendidik.

“Saya sedar kepayahan ayah menjaga kami sekeluarga jadi saya berusaha bersungguh-sungguh mahu mengubah nasib keluarga.

“Saya banyak meluangkan masa belajar sendiri dan berbalas pesanan ringkas (mesej) dengan guru melalui telefon apabila memerlukan penjelasan walaupun adakalanya talian terputus-putus di kawasan ini.

“Saya juga sentiasa mengulangkaji dengan kawan-kawan menerusi aplikasi telefon bimbit,” katanya yang menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Semop, Abdullah Saidol di rumahnya di Kampung Semop di Pulau Bruit, Daro.

Pernah mewakili sekolah dalam pertandingan Menulis Esei dan pameran sains, beliau berharap kejayaannya dapat mendorong adik-adiknya berjaya dalam pelajaran.

“Saya memang mengharap keputusan yang baik tetapi tidak menjangka akan mendapat 8A.

“Walaupun ibubapa saya tidak mampu memberi kemewahan wang ringgit, mereka tetap memberi sokongan dan dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Mereka tidak pernah memberi tekanan untuk lulus cemerlang cuma saya sentiasa ingat nasihat ayah supaya belajar tinggi-tinggi supaya dapat pekerjaan yang lebih menjamin kedudukan keluarga,” tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop itu.

Ibunya yang merupakan seorang suri rumah turut melahirkan rasa syukur dengan kejayaan anaknya

Beliau juga bangga kerana menurutnya Siti Suraya mempunyai disiplin yang sangat tinggi dan tidak pernah merungut dengan keadaan keluarga yg serba kekurangan.

Kejayaan Siti Sarah menarik perhatian Abdullah yang singgah berjumpa Siti serta keluarga untuk menyampaikan saguhati serta nasihat serta panduan tentang kemasukan ke Universiti.

“Saya akan membantunya dari segi permohonan biasiswa.

“Saya sendiri sebagai anak desa amat memahami dan menyelami perasaan adik Siti dan keluarga tentang betapa penting dan bermakna kejayaan dalam pendidikan ini dalam usaha dan azam untuk membina masa depan yang lebih baik,” kata Abdullah.

Siti Sarah memperoleh ‘A’ dalam semua mata pelajaran yang diambilnya iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi, Pendidikan Seni, Reka Cipta, Pendidikan Islam dan Sejarah.

Gambar-gambar ihsan YB Abdullah Saidol

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *