SPM 2020, Catat GPN Terbaik Dalam Tempoh Lima Tahun

Spread the love

KUALA LUMPUR :Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencatatkan pencapian calon yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia merupakan pencapaian terbaik sejak 2016.

“Data ini menunjukkan pencapaian calon adalah lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding tahun 2019. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Analisa ini adalah berdasarkan calon yang mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Trend GPN untuk 2016 hingga 2020 menunjukkan, tahun 2020 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Radzi pencapaian calon di bandar dan luar bandar pada tahun 2020 mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019, namun peningkatan pencapaian calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon di bandar.

Pencapaian calon di bandar pada tahun 2020 adalah 4.68 berbanding 4.70 pada 2019, manakala pencapaian calon luar bandar meningkat kepada 5.06 pada tahun 2020, berbanding 5.14 pada 2019.

Dari segi prestasi mata pelajaran, beliau berkata keputusan peperiksaan SPM 2020 menunjukkan sebanyak 43 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 39 mata pelajaran mencatatkan penurunan, manakala satu mata pelajaran kekal daripada keseluruhan 83 mata pelajaran.

“Bagi prestasi mata pelajaran teras, mata pelajaran Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, mencatatkan peningkatan prestasi pada tahun 2020 manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula merekodkan penurunan prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun 2020, peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada 2019.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *