Hanya 452 Kebakaran Terbuka Setakat Jun 2021

Spread the love

Kuching, 9 Jun: Selain menangani wabak Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat berjaya mengurangkan kes kebakaran terbuka di Sarawak yang melibatkan kebun, ladang, hutan, belukar atau lalang dan sampah semakin mencatatkan pengurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

Setakat 7 Jun 2021, hanya 452 kes sedemikian telah direkodkan di seluruh Sarawak dengan Miri memegang rekod tertinggi iaitu 132 kes manakala Sri Aman pula mencatatkan rekod terendah iaitu sebanyak empat kes.


Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Khirudin Drahman, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak beliau, kes-kes tersebut berlaku akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.


Katanya lagi, pola kebakaran terbuka pada 5 tahun kebelakangan ini menunjukkan angka yang cukup besar dimana berlakunya kes kebakaran secara meluas pada musim kemarau dan ditambah lagi dengan musim panas. Keadaaan berubah apabila memasuki PKP fasa pada awal tahun 2020.


“Saya amat terkejut apabila pada tahun 2020 bila PKP diumumkan pada bulan Mac, daripada 2,261 pada tahun 2019, pada tahun 2020 mencatat 709 sahaja,” katanya kepada TVS


Susulan itu pihak bomba bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan beberapa agensi lain bekerjasama untuk menganjurkan advokasi bersama masyarakat tempatan yang bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti tentang langkah-langkah keselamatan kebakaran selain menekankan beberapa aspek penting lain.


“PKP ini memang banyak membantu. Begitu juga pada tahun ini. Kalau kita lihat setakat semalam, hanya mencatat 452 kes. Pertama kali kebakaran tahun 2021 dan kebun ladang hanya 18 kes, hutan 27 kes, belukar 312 kes dan juga sampah 95 kes,” tambah Khirudin.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menyimpan sebarang peralatan atau barang mudah terbakar di dalam atau di pekarangan rumah mereka sebagai langkah keselamatan yang paling asas untuk mencegah kebakaran.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *