Vaksin: Sarawak Terima Sejumlah Dos Sinovac Rabu Ini

Spread the love

KUCHING: Dalam usaha mencepatkan lagi proses vaksinasi, Sarawak akan menerima sejumlah 380,000 dos vaksin jenis Sinovac Rabu ini.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, penghantarannya kelak merupakan sebahagian daripada yang diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin semasa lawatannya ke Sarawak minggu lalu.

Daripada jumlah terbabit, sebanyak 89,360 dos akan dihantar ke Miri pada 10 Jun.

“Sasaran kita ialah mencapai satu juta suntikan dos vaksin menjelang hujung bulan ini,” kata Abang Johari selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Borneo Convention Centre (BCCK).

Selain di BCCK, PPV vaksin AstraZeneca turut dibuka di Pusat Kemahiran Belia Negara di Miri yang juga mula beroperasi hari ini sehingga hujung Julai.

Sementara itu, bagi pendaftaran vaksinasi di kawasan luar bandar, jelas Abang Johari, Sarawak akan menggunakan pendekatan secara hibrid yang turut menggunakan kaedah manual selain menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, ramai penduduk di luar bandar menetap jauh dari PPV.

Justeru, sekiranya mereka yang belum mendaftar melalui MySejahtera atau Pejabat Residen hadir di PPV, mereka tidak akan disuruh pulang sebaliknya terus diberikan suntikan vaksin.

“Untuk di luar bandar, mereka yang datang walaupun nama dia tiada dalam sistem, kita tetap akan berikan suntikan vaksin dan kemudian barulah didaftar dengan butiran peribadi mereka direkodkan dan dimasukkan ke dalam sistem dan pangkalan data,” tambahnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *