COVID Sarawak: Empat Kluster Diisytihar, Satu Libatkan Sambutan Gawai

Spread the love

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Isnin mengisytiharkan empat kluster baharu COVID-19, dua di daerah Miri manakala satu masing-masing di Sebauh dan Sibu.

Di Miri, Kluster Jalan Airport, Miri yang merupakan kluster tempat kerja dikesan melibatkan beberapa buah rumah kediaman tempat kerja di Jalan Airport, Miri.

Kluster berkenaan berpunca dari pergerakan sosial dan pergaulan rapat dalam kalangan penghuni di rumah kediaman tersebut

“Sejumlah 122 individu disaring 12 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 103 kes negatif dan tujuh masih menunggu keputusan makmal,” menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalan satu kenyataan.

Satu lagi kluster tempat kerja diisytiharkan, Kluster Jalan Ilmu, Miri, melibatkan sebuah premis makanan dan hiburan di Jalan Ilmu, Miri yang berpunca dari pergerakan sosial melibatkan pekerja dan pengunjung premis tersebut.

Sejumlah 242 individu disaring, 24 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks; 208 negatif dan 10 kes masih menunggu keputusan makmal.

Kluster Jalan Masket pula kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Batu 8, Jalan Masket, Nibongmali, Sebauh melalui pergaulan sosial dalam kalangan penduduk rumah panjang tersebut.

Sejumlah 45 individu disaring, 17 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 23 negatif dan lima lagi masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes positif COVID-19 ini dirujuk ke Hospital Bintulu dan dimasukkan ke Hospital Bintulu dan PKRC di daerah Bintulu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

“Ladang tempat kerja kes indeks dan rumah panjang tersebut juga diletakkan di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bagi mengawal perebakan jangkitan ke kawasan lain,” tambah kenyataan tersebut.

Mengenai Kluster Sungai Durin, ia adalah kluster komuniti juga melibatkan sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Durin, Sibu yang melibatkan perkumpulan beberapa penduduk rumah panjang tersebut sempena malam menjelang sambutan Hari Gawai pada 31 Mei 2021.

Sejumlah 52 individu disaring, 22 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 30 kes didapati negatif.

Rumah panjang tersebut juga diletakkan di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bagi mengawal perebakan jangkitan ke kawasan lain.

Sementara itu, 703 kes baharu serta empat lagi kematian melibatkan jangkitan COVID-19 turut dicatatkan.

49.21 peratus daripada jumlah kes baharu hari ini dikesan di daerah Kuching, Miri dan Tanjung Manis.

“Daerah Kuching dan Miri merekodkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu masing-masing 139 diikuti Tanjung Manis (68), Kapit (58), Sibu (55), Bintulu (52), Song (49), Samarahan (25), Kabong (17), Sebauh (16), Beluru (16), Subis (9), Kanowit (8), Tatau (8), Mukah (7), Asajaya (6), Selangau (6), Sri Aman (5), Telang Usan (4), Dalat (3), Serian (3), Marudi (3), Bukit Mabong (2), Sarikei (2), Meradong (2) dan Betong (1),” menurut kenyataan terbabit.

Jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 51,874.

Dalam pada itu, empat kes kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19 turut dilaporkan dan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 kini meningkat kepada 326 orang.

Kes kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusis 63 tahun dari Sri Aman, kes kedua lelaki 72 tahun tahun dari Kapit, manakala kes ketiga membabitkan wanita berusia 62 tahun dari Mukah dan keempat mangsa dari Miri, seorang lelaki berusia 50 tahun.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *