Tempoh Hayat DUN Sarawak Dilanjutkan Sehingga Proklamasi Darurat Tamat

Spread the love

KUCHING: Tempoh hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang penggalnya tamat bermula esok, dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dalam kenyataannya berkata, notis lanjutan juga telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menerusi emel, pada Ahad.

Pilihan raya negeri juga akan diadakan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Kerajaan Sarawak dinasihatkan untuk berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Jelasnya, ekoran pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Penggantungan berkenaan pembubaran dan pilihan raya DUN akan terus kekal selagi mana pengisytiharan darurat berkuatkuasa.

“Disebabkan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong yang berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 dan juga penggubalan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Peruntukan undang-undang di dalam Perlembagaan Negeri Sarawak khususnya berkaitan dengan kuasa-kuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak serta mengadakan pilihan raya telah digantung dan tidak mempunyai kesan menerusi Seksyen 13 dan 15 Ordinan tersebut,” kata Asfia dalam kenyataan itu.

DUN Sarawak sepatutnya terbubar selepas hari ini, iaitu 6 Jun 2021 memandangkan persidangan pertama selepas pilihan raya Negeri yang lepas adalah pada 7 Jun 2016 bersamaan dengan lima tahun tempoh jangka hayat bagi DUN Sarawak.

Bagaimanapun, jelas Asfia kedua-dua itu juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pembubaran DUN bagi sesuatu negeri termasuk Sarawak dan juga tarikh pilihan raya, jika pada pendapat Baginda adalah sesuai bagi DUN tersebut dibubarkan dan pilihan raya diadakan dalam tempoh darurat.

Sementara itu katanya lagi, Kedudukan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak masih kekal selepas 6 Jun 2021.

Perkara 18 (1) Perlembagaan Negeri Sarawak dengan jelas memperuntukkan bahawa seorang ADUN akan kekal sebagai ADUN sehinggalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *