MOTAC Siap Sedia, Adakan Sesi Libat Urus Dengan Penggiat Industri

Spread the love

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus meningkatkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan menerusi sesi libat urus dalam tempoh dua minggu ini sebagai persiapan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia bagi mengenal pasti bentuk bantuan lain yang diperlukan golongan sasar sekali gus meningkatkan keberkesanan penyaluran fiskal kerajaan secara ‘bottom to top’.

Melahirkan penghargaan atas bantuan diumum kerajaan kepada pemain industri di bawah PEMERKASA+, beliau berkata MOTAC dalam tempoh sama akan memastikan penyelarasan dan pemantauan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Usaha ini juga sedikit sebanyak membolehkan penggiat industri pelancongan dan budaya meneruskan kelangsungan perniagaan mereka serta dapat mengekalkan tenaga kerja di sektor masing-masing.

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan atas setiap keluhan rakyat dalam rantaian ekonomi sektor pelancongan dan kebudayaan yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pakej rangsangan PEMERKASA+ bernilai RM40 bilion dengan tiga matlamat utama iaitu bagi mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Untuk sektor pelancongan dan kebudayaan bantuan yang diberikan ialah:

1. Bantuan khas one-off sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong berdaftar, 4,000 bas persiaran berdaftar, pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, dan e-hailing melibatkan peruntukan berjumlah RM68 juta;
2. Melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan dari Julai hingga September kepada pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan;
3. Potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi hingga 31 Dis bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa;
4. Pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan pengendali hotel masih berterusan dan dilanjutkan hingga 31 Dis;
5. Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion. Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman hingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman hingga 36 bulan;
6. Melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama  sebulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan; dan
7. Pembiayaan mikro kredit serendah tiga peratus sebagai modal kerja dengan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *