MEDAC Sokong Pemberian Insentif Bernilai RM11.5 Bilion Di Bawah PEMERKASA+

Spread the love

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyokong penuh pemberian insentif termasuk bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM11.5 bilion di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang akan memberi manfaat kepada golongan usahawan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata inisiatif yang diumumkan merupakan langkah tepat untuk membantu usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengekalkan daya tahan perniagaan dalam tempoh yang mencabar sepanjang sekatan pergerakan.

Sekatan pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) berkuatkuasa hari ini sehingga 14 Jun.

“PMKS yang berjumlah lebih 1.15 juta pada 2020, memberi sumbangan yang amat signifikan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dan ia menyumbang kepada hampir separuh daripada guna tenaga di negara ini iaitu sebanyak 7.3 juta orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya inisiatif PEMERKASA+ yang bakal memberi manfaat kepada usahawan yang terkesan termasuklah Bantuan Pinjaman Bank Bersasar bagi perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, Program Majlis Amanah Rakyat (MARA) Prihatin dengan diskaun 30 peratus bagi sewaan premis dan Program Subsidi Upah berjumlah RM1.5 bilion.

Inisiatif lain ialah Geran Khas Prihatin (RM1.5 bilion) serta Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Bank Simpanan Nasional, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), MARA, SME Corp dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bernilai RM1.5 bilion.

Pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan turut layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan tambahan antara Julai dan September 2021.

Selain itu, potongan khas turut akan diberikan kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi sehingga 31 Dis 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *