PKP Dilaksana Seluruh Sarawak

Spread the love

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk melaksanana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 Mei-11 Jun 2021, umum Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.

“Mengambil kira situasi COVID-19 di Sarawak yang semakin meruncing, situasi fasiliti kesihatan yang kritikal, dan tambahan lagi dengan varian baru (VOC) yang telah dikesan di Sarawak baru-baru ini, kita perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk mengawal jangkitan COVID-19 sekarang, sebelum kita berada di situasi yang lebih parah lagi.

“Garis Panduan (SOP) yang lebih ketat di bawah PKP dan kawalan pergerakan dalam tempoh beberapa minggu amat penting bagi membantu mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 di Sarawak,” katanya yang juga Pengerusi JPBN Sarawak.

Sementara itu, Uggah turut menyeru orang ramai yang belum mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 agar bertindak segera dengan membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) atau menghubungi Pejabat Daerah berdekatan.

“Kami amat memerlukan kerjasama daripada semua warga di Sarawak agar kadar imuniti kelompok yang mencukupi boleh dicapai bagi membendung jangkitan COVID-19 di Sarawak,” tambahnya.

Sarawak pada Khamis merekodkan sebanyak 772 kes baru COVID-19 di seluruh Sarawak dan menjadikan kumulatif kes di Sarawak berjumlah 44,738 kes.

“Daerah-daerah yang merekodkan kes ialah Daerah Kuching (229), Miri (82), Sibu (70), Bintulu (67), Subis (52), Mukah (33), Beluru (25), Sri Aman (23), Serian (18), Kanowit (17), Betong (16), Kabong (15), Pakan (15), Selangau (14), Asajaya (13), Tatau (12), Bukit Mabong (11), Kapit (9), Tanjung Manis (8), Bau (8), Samarahan (7), Belaga (6), Dalat (4), Sarikei (4), Daro (3), Lawas (2), Lundu (2), Saratok (2), Meradong (2), Sebauh (1), Song (1) dan Matu (1),” ujarnya.

Tags: #bm, MCO

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *