Patuh SOP, Kuching “Tidur” Seawal Jam 8 Malam

Spread the love

KUCHING, MEI 25: Hari pertama kawalan pergerakan tambahan yang dilaksanakan di Sarawak menyaksikan suasana bandaraya Kuching yang biasanya masih “meriah” dengan kehadiran orang ramai dan peniaga diselangi lalu-lalang kenderaan bertukar sepi seawal jam 8.30 malam.

Tinjaun jurukamera TVS Faitullah Morni ke beberapa lokasi popular di Kuching seperti di Padang Merdeka dan di hadapan Riverside Hotel berdekatan Kuching Waterfront mendapati semua premis perniagaan ditutup dan tidak kelihatan orang ramai bersiar-siar di kawasan terbabit, membuktikan semua warga Kuching mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Semalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengumumkan bermula hari ini (Mei 25) sehingga 7, kawalan pergerakan tambahan akan dilaksanakan di Sarawak sebagai sebahagian daripada SOP bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

JPBN dalam kenyataan pada Isnin memberitahu kawalan tambahan itu termasuk mengehadkan hanya tiga orang dalam kenderaan persendirian, manakala perkhidmatan pengangkutan dibenar beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti.

Kenyataan itu menyebut tempoh operasi bagi semua sektor di negeri ini adalah di antara jam 6 pagi dan 8 malam sahaja dan kehadiran pekerja di pejabat yang tidak termasuk petugas barisan hadapan adalah 20 peratus bagi sektor awam dan 60 peratus bagi sektor swasta.

Bandaraya Kuching yang lengang hanya diterangi cahaya lampu dari bangunan-bangunan

“Mesyuarat bersemuka bagi urusan rasmi/kerja adalah tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu dan menambah semua aktiviti sukan bagi tujuan latihan dan penganjuran pertandingan atau kejohanan serta rekreasi awam adalah tidak dibenarkan kecuali joging dan senaman yang dilaksanakan secara individu.

Zon Kuching yang sebelum ini melibatkan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian juga akan dipecahkan kepada Zon Kuching yang melibatkan daerah Kuching dan Bahagian Samarahan, Zon Serian (Bahagian Serian), Zon Lundu (daerah Lundu) dan Zon Bau (daerah Bau).

“Pergerakan antara zon-zon ini dibenarkan bagi perkhidmatan perlu, orang yang bekerja dan kecemasan dengan memerlukan permit polis. Penduduk yang bekerja tetap di zon-zon ini yang terkesan dengan perubahan ini adalah dikecualikan daripada keperluan swab test (ujian calitan) setiap 14 hari sekali serta dibenarkan mendapatkan permit polis dengan mengemukakan surat dari majikan,” menurut kenyataan itu.

Sunyi sepi..

Bernama pada Isnin melaporkan Sarawak mencatat 530 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 42,813 kes dan tiga kematian baharu akibat jangkitan itu, sekali gus jumlah kematian meningkat kepada 255 orang.

Boleh baring di tengah-tengah jalanraya..

Dalam kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Sarawak mengisytiharkan Kluster Selumit di Tanjung Manis sebagai kluster baharu di negeri itu yang dikesan melibatkan sebuah agensi perkhidmatan awam di pusat pentadbiran kerajaan di kawasan itu.

Tiada seorang pun kelihatan dalam gambar yang dirakam jurukamera TVS Faitullah Morni

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa di Rumah Panjang (Rh) Nyalu Anak Francis di Mukah; Blok A RPR Bandaria Park dan Kuarters Pekerja Harwood Timber Sdn Bhd di Bintulu; serta Rh Johnson dan Rh Noel di Sri Aman dari 23 Mei hingga 7 Jun.

Perintah yang sama juga dikenakan di Lidi, Ulu Babu dan Rh Chunggat di Betong bermula hari ini (Isnin) hingga 6 Jun.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *