Lelaki Melecur Kebakaran di Kampung Riam Jaya

Spread the love

MIRI – 24 Mei: Seorang lelaki berusia 21 tahun melecur di bahagian badan akibat terperangkap di dalam sebuah rumah yang sedang terbakar di Lorong 5, Kampung Riam Jaya, di sini, semalam.

Kebakaran sekitar jam 2.33 petang itu semasa mangsa berada di dalam bilik tidur bahagian atas rumah sebelum menyedari api mula membesar di bahagian dapur.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, kebakaran bermula di bahagian dapur rumah dan membakar hampir 40 peratus daripada keseluruhan struktur serta peralatan elektrik di dalam kediaman terbabit.

“Ketika operasi digerakkan, mangsa ditemui dalam keadaan lemah di luar bilik tidurnya di tingkat atas rumah dan pasukan operasi berjaya mengeluarkan mangsa dari lokasi kebakaran.

“Mangsa yang mengalami luka di bahagian badan telah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Bomba sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.

Operasi menyelamat telah dilakukan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri serta dibantu oleh BBP Lopeng.

Jumlah kerugian dan punca kebakaran kini masih dalam siasatan.

Sumber: Suara Sarawak

Tags: #bm, Miri

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *