4 Lagi Kluster Baharu Diisytihar Di Sarawak, 2 Daripadanya Libatkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Spread the love

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan empat lagi kluster baharu dengan dua kluster di Daerah Kuching, satu di Daerah Kanowit dan satu lagi di Daerah Pakan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan Kluster Taman Sourabaya Indah dan Kluster Jalan Jambatan Gantung merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan aktiviti sosial semasa Hari Raya Aidilfitri.

“Pada 13 Mei 2021, kira-kira seramai 34 orang ahli keluarga terdekat telah berkumpul di rumah kes indeks untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri melibatkan lima buah keluarga dari Daerah Kuching.

“Hasil saringan ke atas kontak rapat kepada kes indeks ini dan semua ahli keluarga yang telah menghadiri majlis sambutan Hari Raya pada 13 Mei 2021, terdapat penambahan lapan individu lain telah dikesan positif COVID-19 termasuk tujuh kes baharu pada hari ini.

“Kluster Jalan Jambatan Gantung pula melibatkan penempatan di Lorong 1, Jalan Jambatan Gantung, Kuching. Pada 13 Mei 2021 iaitu pada Hari Raya Aidifitri, indeks kes telah melakukan kunjungan ke beberapa rumah di sekitar Kuching.

“Hasil saringan ke atas kontak rapat kepada kes ini termasuk ahli keluarga dan rumah yang telah dikunjungi, terdapat penambahan lapan individu lain telah dikesan positif COVID19,” katanya.

Sementara itu, Kluster Sungai Majau dan Kluster Bukit Temedak turut merupakan kluster komuniti yang melibatkan rumah panjang.

“Kluster Sungai Majau merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Nanga Setapang, Sungai Majau, di daerah Kanowit.

“Hasil saringan ke atas kontak rapat kepada kes ini dan saringan bersasar ke atas penghuni rumah panjang tersebut, terdapat penambahan 25 individu lain telah dikesan positif COVID-19.

“Kluster Bukit Temedak merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Merampu, Bukit Temedak di daerah Pakan.

“Hasil saringan ke atas kontak rapat kepada kes ini dan saringan bersasar ke atas penghuni rumah panjang tersebut, terdapat penambahan 29 individu lain telah dikesan positif COVID-19 termasuk 17 kes baharu dilaporkan pada hari ini,” tambahnya.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak kini sebanyak 84.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *