Pasangan suami isteri ditahan, edar dadah guna kotak kopi

Spread the love

SIBU, MEI 19: Helah sepasang suami isteri menyembunyikan dadah dalam kotak serbuk kopi pra-campuran terbongkar apabila taktik mereka dihidu pihak polis.

Polis menahan pasangan tersebut di belakang bangunan Pejabat Pos Sibu semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat menjelaskan anggota polis bertindak memberkas mereka kira-kira jam 1 tengah hari selepas memerhatikan gerak-geri mencurigakan pasangan terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat lebih empat kilogram dalam kotak serbuk kopi berjenama itu,” katanya.

Nilai keseluruhan dadah tersebut dianggarkan RM151,236 dan pasangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Setakat ini tiada pengakuan daripada pasangan suami isteri tersebut ke atas barang kes yang dirampas itu dan mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Sungai Merah Sibu untuk tindakan selanjutnya,” ulasnya dalam satu kenyataan semalam.

Collin turut mendedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sibu memperoleh maklumat awal berhubung kegiatan pasangan terbabit dari Bukit Aman di Kuala Lumpur sebelum sepasukan anggota membuat serbuan.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *