Sebak Syawal Di Perantauan | Rindu Yang Tidak Kesampaian

Spread the love

Tinggal beberapa hari lagi umat Islam di seluruh negara akan menyambut kedatangan bulan Syawal. Gerhana di bulan Syawal menanti tiba dikala malam-malam terakhir Ramadhan disempurnakan dengan ibadah masing masing. Kemeriahan yang dapat dirasai segenap masyarakat Malaysia apabila Aidilfitri diraikan di kampung halaman sambil menikmati keindahan pagi Syawal dan suasana berkeluarga yang ceria. Tidak lupa juga setiap daripada mereka menggayakan pakaian baharu berwarna-warni dan menikmati juadah istimewa raya seperti ketupat dan rendang. Sanak saudara juga menyusun atur barisan mengharapkan sampul raya daripada ibu bapa, adik beradik dan saudara jauh.

Walaubagaimanapun, segelintir insan memiliki perasaan berbeza di pagi Aidilfitri apabila perlu menabur bakti tugas atau melanjutkan pelajaran di luar negara. Dikekang lagi dengan pandemik Covid-19 memberikan impak tersendiri apabila insan-insan terpilih ini tidak dapat pulang ke tanah air yang tercinta. Mereka yang terpilih ini memiliki pengorbanan tersendiri demi mencapai cita-cita mereka. Yang pasti, rindu menanti di setiap di sanubari mereka.

Itu ialah perasaan yang diungkapkan oleh Nur Izeni Binti Jamil, 27, yang merupakan pelajar Doktor Perubatan di University of Queensland, Australia, yang berasal dari Sibu, Sarawak, apabila tahun ini sekali lagi tidak dapat balik ke Malaysia. Beliau mengakui merindui keluarga dan sanak-saudara namun perasaan dipadam dengan pengorbanan pembelajaran yang sedang lakukan olehnya.

Perasaan yang sama juga dirasai oleh Muhammad Faiz Bin Arshad, 24, dari Ampang, Selangor, yang tidak dapat balik beraya di kampung halamannya untuk pertama kali. Beliau pasrah dan redha namun memberi perspektif positif apabila mengganggap Aidilfitri di perantauan suatu suasana yang baru dengan rakan-rakannya.

“Yang pastinya baju raya saya dah beli dan saya tidak sabar untuk beraya di sini bersama rakan-rakan saya,” ujar Faiz memberi kata positif untuk dirinya kepada penemuramah TVS.

Jururawat kelahiran anak Sarawak, Sharifah Norazua, 27, yang berkhidmat di Hospital Permai Johor Baharu merupakan anggota barisan hadapan tidak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan perintah kawalan pergerakan di sana.

“Perasaan tidak dapat balik beraya agak sedih tetapi untuk menghilangkan perasaan sedih tu saya buat kuih raya untuk mengubati rasa rindu di Sarawak,” katanya kepada editorial TVS.

Begitu juga luahan pelajar dari University of Cyberjaya, Nuryn Jaslina Binti Jolly dan Mohd Assri Merzuki yang merupakan pemain tenis kelahiran Sarawak. Mereka juga meluahkan perasaan sedih tidak pulang ke kampung halaman.

“Baju raya tak beli tahun ini dan tak rancang pun nak beli sebab cuti raya diluangkan dengan menelaah buku,” kata Nuryn.

Asri berkata beliau sudah biasa tak balik raya disebabkan latihan masa duduk di luar negara dahulu tetapi perasaan sedih itu tetap ada memandangkan beliau berharap agar tahun ini dapat balik beraya.

Fatin Nabila salah seorang isteri kepada anggota barisan hadapan juga merasai kelainan suasana hari raya pada tahun ini memandang ini ialah kali pertama beliau beraya di perantauan bersama anak dan suami tersayang.

“Saya rindukan masakan dan juadah di Sarawak terutama sekali bubur pedas hasil tangan mak saya dan suasana beraya di Samarahan,” ujar Nabila menangisi rindu kampung halamannya. Setiap insan di perantauan ini memiliki satu perasaan yang sama iaitu rindu terhadap kampung halaman tersendiri. Aidilfitri di tempat kelahiran tersendiri adalah tidak sama dengan Aidilfitri di perantauan. Namun, itulah pengorbanan hakiki demi diri, umat dan negara tercinta.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *