Balu Konst. Norhalim terkilan suami tidak sempat rasa kuih raya kirimannya

Spread the love

KUCHING: Harapan seorang isteri untuk suaminya merasa kuih raya yang dikirim melalui pos sebagai satu bentuk kejutan punah apabila mendapat tahu suaminya itu meninggal dunia akibat tembakan.

Sepatutnya Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran yang bertugas di Ibupejabat Polis Sibu yang ditemukan mati dengan kesan tembakan semalam bakal menerima kuih dan biskut raya yang dikirim isterinya, Nor Fitrah Ramli, 25 dari Pahang tetapi siapa yang boleh melawan ketentuan takdir.

Nor Fitrah ketika dihubungi TVS berkata arwah suaminya sangat menggemari biskut dan kuih raya buatannya seperti cornflakes madu, semperit dan rempeyek ibu mertuanya dan ada memintanya membuat kuih-muih tersebut.

“Sebenarnya saya tak beritahu suami yang saya sudahkan siapkan semua kuih raya itu dan dikirim melalui pos sebagai kejutan buatnya tapi apakan daya, dia tak sempat merasa semua itu.

“Baju raya pun sudah saya pos sekali tapi tak sempat arwah pakai,” kata Nor Fitrah yang tidak dapat menahan sebak.

Nor Fitrah juga memberitahu, beberapa jam selepas dia ke pejabat pos untuk mengirim semua kejutan itu untuk suamniya semalam, beliau dikejutkan dengan panggilan telefon dari rakan suaminya yang memaklumkan suaminya telah pergi buat selama-lamanya.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah ialah di KLIA bulan lepas sebelum arwah berangkat ke Sarawak untuk bertugas di sana selepas tamat latihan polis dan saya tak sangka itu kali terakhir kami berjumpa sebelum dia pergi selama-lamanya.

“Tengahari semalam arwah ada hubungi saya dan memaklumkan sudahpun membayar zakat untuk saya dan anak kami,” kata Nor Fitrah.

Nor Fitrah dan arwah suaminya baru dua tahun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang cahayamata berusia setahun dua bulan.

Tambah pilu apabila beliau yang kini berada di kampungnya di Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang di  tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menunggu ketibaan jenazah suaminya selepas proses bedah siasat di Hospital Sibu.

Beliau juga melahirkan rasa terkilan kerana mendakwa lewat  dimaklumkan tentang kejadian.

“Saya baru sahaja selesai berbuka puasa ketika dihubungi rakan arwah suami yang memaklumkan saya tentang kejadian padahal kejadian berlaku lebih awal.

“Saya berharap siasatan penuh dapat dilakukan demi keadilan,” tambahnya lagi.

Mayat Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan tersandar atas sofa dengan kesan tembakan di bahagian telinga lebih kurang jam 7.20 petang Khamis.

Anggota polis itu ditemukan mati dipercayai akibat tembakan di sebuah rumah di Jalan Permai Timur di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit, mangsa yang berasal dari Pahang itu baru sahaja menyertai pasukan polis dan bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Comment

  1. semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.. ketentuan yang sangat perit dihadapi oleh balu dan keluarganya..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *