Noh Salleh Rindukan “Sesuatu” dari Sarawak

Spread the love

LEBIH setahun “terkandas” di Kuala Lumpur disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan lantaran Covid19, artis kelahiran Sarawak,Noh Salleh mengakui ada sesuatu yang amat dirinduinya tentang Sarawak selain keluarganya di sana.

“Sesuatu” itu yang dimaksudkan Noh ialah kek hati parek iaitu sejenis makanan tradisi Sarawak yang sukar didapati di tempat lain.

Baginya makanan asli Sarawak yang lain seperti mee kolok boleh didapati di Kuala Lumpur tetapi bukan kek parek.

“Kek parek memang sesuatu yang istimewa di hati saya kerana rasanya yang cukup mantap dan sukar dilupakan. Kerana terlalu rindu rasa kek hati parek, saya sanggup buat pesanan melalui pos.

“Kek hati pari memang istimewa dan ada tempat dihati saya. Istimewanya kek hati parek ialah ia mampu tahan lama dan senang untuk dibawa ke mana-mana semasa ‘travel’,” katanya kepada TVS baru-baru ini.

Noh Salleh

Meskipun Sarawak mempunyai kek tradisi yang pelbagai seperti kek lapis Sarawak yang dihasilkan dengan corak lapisan dan warna yang menarik, kek ini tetap menjadi pilihan Noh Salleh sebagai sajian Aidilfitri.

Jurukamera TVS Faithullah Morni yang baru-baru ini menemubual Noh dan membuat laporan khas tentang kek hati parek sebenarnya juga  memang seorang peminat kek istimewa ini.

Walaupun rupanya bak dayang senandung namun rasa sekali pasti nak lagi!

Baginya, meskipun rupanya tidak secantik kek lapis Sarawak namun ianya mempunyai aura yang tersendiri bak kata orang “rasa sekali, pasti nak lagi!”

Jurukamera TVS Faithullah Morni

Faithullah juga telah menemubual pakar pembuat kek hati parek iaitu Zaleha Arfan yang mempunyai pengalaman membuat kek ini selama 20 tahun.

Keknya memang “laku keras” dan terpaksa ditempah lebih awal.

Bermula dengan membuat kek lapis Sarawak tradisional, Zaleha berkata, keistimewaan kek ini terletak pada kemampuannya untuk bertahan lama walaupun tidak menggunakan sebarang bahan awet, mungkin juga kerana cara pembuatannya dan jangka masa memasaknya yang lama.

Menurut beliau, kek ini biasanya dikukus antara lapan hingga ke 12 jam dan air kukusnya perlu ditukar berkali-kali!

“Sebenarnya tiada apa-apa yang istimewa cuma banyak buah kismis yang digunakan, dihancurkan dan diadun bersama tepung dan gula hangus.

“Walaupun rupanya bak Dayang Senandung tapi rasanya tiada tandingan,” katanya.

Zaleha dan kek parek air tangannya yang menjadi rebutan ramai

Jelasnya, di Sarawak kek hati parek dijadikan antara juadah mesti ada pada pagi syawal khusus bagi menjamu sanak saudara atau sahabat handai datang berkunjung.

Seperti peniaga-peniaga lain, Zaleha turut terkesan akibat pandemik covid 19 lantas beralih ke  medium atas talian seperti media sosial untuk memastikan kelangsungan perniagaanya.

“Mula  ya rasa putus asa tapi mujur ada media sosial untuk urusan jual beli kek saya,” katanya.

Kini Zaleha dibantu   anak lelaki, Zharip yang kini semakin mahir dalam membuat kek ini dan bakal mewarisi kemahiran ibunya.

“Harapan saya agar anak saya ini dapat mewarisi perniagaan ini dan menyambung apa yang saya warisi dari orang tua saya,” tambahnya.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Comment

  1. kek hati parek memang terbaik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *