Pemerkasaan Sektor Awam Agenda Penting PN

Spread the love

KUCHING: Pemerkasaan sektor awam merupakan antara agenda penting yang sering ditekankan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan mesra rakyat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, ini membolehkan mesej serta bantuan dapat disalurkan secara efektik kepada golongan sasaran yang terkesan.

Justeru, tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk mengurangkan kekangan birokrasi agar segenap lapisan masyarakat, khususnya di luar bandar, dapat dibantu.

“Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat. Begitu juga permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur. Setiap permohonan harus dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya,” katanya semasa berucap pada majlis Perjumpaan Khas bersama Penjawat Awam di sebuah hotel di sini.

Katanya lagi, kerajaan turut menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri 4.0 (4IR) yang bertujuan menetapkan dasar, pelaksanaan dan pemantauan strategi serta inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

Penubuhan majlis itu sejajar dengan kesedaran kerajaan tentang pentingnya sektor perkhidmatan awam sebagai pemangkin bidang pendigitalan dan memacu transformasi ke arah 4IR.

“Kerajaan juga telah memperkenalkan pelan MyDigital dan Rangka Tindakan atau Blueprint Ekonomi Digital Malaysia untuk memacu transformasi digital sektor awam.

“Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100 peratus penjawat awam yang celik digital dan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal (hingga) ke akhir menjelang 2025,” katanya.

Menurutnya, penggunaan teknologi secara meluas pasca-COVID-19 dalam perkhidmatan awam sudah pasti dapat memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Muhyiddin yang sebelum itu menghadiri taklimat hala tuju pembangunan Sarawak, berkata perancangan negeri tersebut untuk tempoh hingga 2030, adalah selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan persekutuan.

“Dari segi pemikiran, dari segi visi dan dari segi langkah-langkah yang telah disusun, saya kira cukup rapi. Saya sangat kagum dengan apa yang telah digubal dan pelan itu menjanjikan kejayaan untuk Sarawak,” katanya.

Perdana menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan persekutuan akan terus memberikan sokongan penuh kepada Sarawak dalam usaha membantu negeri itu mencapai status negeri maju menjelang 2030.

“Kalian mempunyai apa yang diperlukan untuk meletakkan Sarawak di persada dunia supaya negara mendapat faedah daripada usaha-usaha pembangunan yang telah dan pastinya akan datang daripada Sarawak,” katanya.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Mohd Shahabuddin Omar.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *