Ernie Zakri Teruja Kongsi Pengalaman Untuk Bakat Baru Di TVSTARZ

Spread the love

Baru sahaja merangkul Anugerah Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35, Ernie Zakri melebarkan sayapnya ke bumi burung Kenyalang dengan menggalas tanggungjawab sebagai juri rancangan realiti TV terbitan TV Sarawak, TVSTARZ. Popular dengan kehebatan vokalnya, Ernie melahirkan rasa terujanya menggalas tanggungjawab sebagai juri TVSTARZ memandangkan beliau sendiri lahir daripada pelbagai rancangan realiti.

Beliau berharap pengalaman dirinya dapat dikongsi bersama peserta rancangan tersebut dalam menyanyikan persembahan bermutu bagi setiap peserta. Ernie menasihatkan agar para peserta menggunakan pertandingan ini sebagai platform untuk mengetengahkan bakat yang ada serta mencuba pelbagai genre lagu.

“Sememangnya semua peserta yang terpilih beruntung kerana mempunyai platform untuk mengetengahkan bakat mereka selain dibimbing oleh mereka yang berpengalaman dalam industri seni suara jadi mereka harus menggunakannya sehabis baik dengan bakat yang ada.

“Peserta harus berani mencuba.. Oh, rupa-rupanya dia nyanyi macam ni, oh rupanya banyak lagi dia boleh buat.

 “Jadi saya sebagai seorang penyanyi yang banyak masuk pertandingan realiti, itu yang boleh saya sarankan lah kepada mereka supaya mereka lebih menyerlah dalam pertandingan ini supaya orang ingati,” tambah Ernie lagi.

Pelantun lagu Gundah tersebut berkongsi bahawa untuk menjadi seorang penyanyi berjaya, tidak dinafikan bakat nyanyian memang penting tetapi juga harus pandai bermain dengan emosi dalam menyampaikan sesebuah karya terutamanya apabila berada di pentas pertandingan.

Di pentas AJL, Ernie kelihatan telah mendendangkan lagu itu dengan penuh emosi sehingga penonton yang mendengarnya turut tersentuh.

Bagi Ernie, lagu Gundah sangat istimewa kerana ia dicipta untuk arwah datuk dan neneknya dimana lagu itu berkaitan dengan rasa kehilangan serta perasaan gundah.

Mengakui situasi pada kali ini agak berbeza kerana pandemik COVID-19, namun Ernie tidak mahu ia menjadi halangan untuk menyampaikan persembahan yang terbaik.

 “Sekarang ni, kami tidak boleh merasakan seperti dulu lagi. Setiap kali membuat persembahan sebelum ini, ada penonton, ‘live band’, dan juga penari.

“Tapi kali ni kita sangat berbeza, saya sebagai penyanyi solo sangat memerlukan bantuan daripada penari, penonton dan itulah antara cabaran utama untuk Ernie.

“Tapi bila dah tak dapat ni pun, tak boleh jadikannya satu alasan. Apabila kita dah berada di atas pentas, kita harus buat terbaik,” katanya.

Jelasnya dengan cara itulah seseorang penyanyi akan terus diingati oleh peminat dan penonton selain sebagai cara memenangi pertandingan.

 Sementara itu, beliau turut meletakkan harapan tinggi terhadap semua peserta agar menampilkan persembahan yang berbeza pada setiap minggu.

 “Setiap minggu saya mahu mereka menampilkan sesuatu yang lain, jadi pada saya di dalam realiti show kita, TVSTARZ ini, semua kena ada satu ‘mindset’ setiap minggu harus berbeza. Jangan berikan kita benda yang sama.”

TVSTARZ adalah sebuah rancangan pencarian bakat yang unik di Asia di mana enam peserta yang terppilih dari lebih 600 calon akan berentap melalui persembahan nyanyian setiap minggu secara online, mengambilkira situasi Covid19 yang sedang melanda negara.

Selain Ernie, turut menjadi juri ialah penyanyi Amir Jahari serta bekas ratu cantik, model dan juga seorang penyanyi, Dewi Liana Seriestha.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *