UiTM Sarawak, Stoma Bekerjasama Bangunkan Sistem Rawatan Air Sungai

Spread the love

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan syarikat tempatan, Stoma Sdn Bhd pada Khamis untuk bekerjasama membangunkan sistem merawat dan meningkatkan kualiti air sungai.

MoA itu ditandatangani oleh Rektor UiTM Sarawak Prof Datuk Jamil Hamali dan Ketua Pegawai Eksekutif Stoma Firdaus Abdullah di UiTM Samarahan 2 di sini.

Jamil berkata, di bawah MoA itu, kedua-dua pihak telah bersetuju menjalankan penyelidikan bersama menerusi pertukaran kakitangan dan pelajar serta bidang berkaitan lain seperti terkandung dalam memorandum itu.

Objektif utama MoA berkenaan adalah untuk melaksanakan, menjalankan dan menilai dapatan dan pembangunan proses dan metodologi loji rawatan biologi, satu sistem untuk meningkatkan kualiti air permukaan sungai dengan menggunakan rawatan biologi.

“Kerjasama pertama ini adalah untuk membangunkan sistem merawat air permukaan di Sungai Bedil, Kuching dan saya yakin projek permulaan ini akan mendorong lebih banyak inovasi mengenai sistem rawatan air baharu,” katanya pada majlis itu.

Jamil berkata pengkomersialan produk yang dibangunkan daripada penyelidik-penyelidik ini bukan sahaja memanfaatkan UiTM dan Stoma, malahan, yang lebih penting kepada industri air.

“MoA ini juga memberi kelebihan kepada pelajar yang mengikuti program dan bidang yang berkaitan kerana mereka berpeluang untuk menyertai projek sumber air,” katanya.

Beliau berkata memorandum itu bukan sahaja memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak, malahan, akan turut memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sistem elektrik yang dihasilkan sendiri untuk menghasilkan loji rawatan air minuman di kawasan luar bandar, rawatan air sisa, sistem pembetungan yang dijana semula dan sistem buangan air sisa kilang minyak sawit adalah antara projek dalam perancangan,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *