Sungai Golok Di Rantau Panjang Lepasi Tahap Waspada

Spread the love

KOTA BHARU: Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan melebihi paras waspada setakat pukul 9 pagi.

Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok menunjukkan bacaan 7.78 meter (m) melepasi paras waspada iaitu 7 m dengan trend menaik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata peningkatan paras air sungai yang berlaku di Sungai Golok ketika ini, berikutan sesekali hujan lebat di kawasan terbabit sejak Khamis.

“Setakat ini, berdasarkan pemantauan pihak kami kemungkinan untuk berlaku banjir adalah rendah memandangkan hanya sesekali hujan lebat berlaku ketika ini. Namun, kita tidak menolak kemungkinan akan banjir sekiranya berlaku hujan berterusan dalam tempoh tujuh hingga lapan jam di Rantau Panjang dan di hulu Sungai Golok.

“Bagaimanapun, kita menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan paras air sungai berdekatan mereka dan mengambil langkah awal seperti mengemas dokumen-dokumen penting sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Imran berkata, tinjauan pihaknya semalam juga menunjukkan aliran air sungai adalah deras berikutan peningkatan paras air, selain penduduk kampung dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Pihak kami sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental dalam menghadapi musim tengkujuh ini, dan sekiranya berlaku banjir kita akan tukarkan tempoh bekerja daripada 12 jam kepada 24 jam serta-merta dengan penglibatan seramai 13 anggota berbanding tempoh biasa hanya lapan anggota.

“Daripada kesediaan aset ketika ini, sebanyak tiga bot aluminium sentiasa dipastikan berada dalam keadaan baik dan akan diperiksa secara purata dalam tempoh dua hari selain kita turut mempunyai dua lori Hicom sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Cuaca di seluruh Kelantan pada pagi Jumaat adalah mendung dengan sesekali hujan renyai di beberapa kawasan.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *