Peminat Boleh Kembali Ke Stadium Februari Depan?

Spread the love

KUALA LUMPUR: Peminat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka mula dibenarkan menonton perlawanan di stadium dengan jumlah kehadiran maksimum tidak melebihi 4,000 penonton, di kawasan berisiko rendah bermula Disember.

Ia disambut baik beberapa kelab gergasi EPL dengan juara musim 2019-2020 Liverpool, bersedia bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan, selain Manchester United tampil dengan garis panduan ketat untuk memastikan keselamatan penonton berada di tahap tertinggi.

Pengumuman dibuat Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson itu, akan memberi impak positif kepada kewangan pasukan, menurut Pengerusi English Football League Rick Parry selepas kesemua kelab dilapor bakal menanggung kerugian kolektif 500 juta pound (RM2.7 billion), kesan COVID-19.

UK mencatat 11,299 kes baharu COVID-19 pada 26 Nov.

Bagaimanapun, UK bukan negara pertama yang bakal membenarkan kehadiran penonton ke stadium, malah negara seperti Perancis, Belanda, Itali, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, China serta Vietnam, telah melaksanakan kelonggaran itu di negara masing-masing.

Berdasarkan perkembangan terkini global, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan kebenaran kehadiran penonton ke stadium dalam skala kecil, jika penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijadual bermula Februari tahun hadapan, mendapat ‘lampu hijau’.

Difahamkan, keuntungan keseluruhan lebih RM7 juta hasil jualan tiket perlawanan termasuk pas bermusim selain barangan cenderamata di venue pertandingan, gagal dikutip kesemua 24 pasukan yang bersaing dalam Liga Super dan Liga Premier musim ini, akibat larangan kehadiran penonton di stadium.

Walaupun keselamatan dan kesihatan menjadi isu utama, juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuktikan penularan COVID-19 dalam kalangan penonton di stadium mampu diatasi, dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat.

Ia selepas tiada kes positif COVID-19 dilaporkan daripada seramai 100 individu yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, bagi menyaksikan perlawanan Liga Super antara JDT dan Sabah pada 2 Okt lepas.

Bernama difahamkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telahpun mengorak langkah dalam usaha mendapatkan kebenaran penonton ke stadium seawal aksi Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, yang menjadi perlawanan pembuka tirai kempen Liga-M 2021.

Perancangannya adalah untuk memohon sehingga 300 penonton dengan pelaksanaan SOP yang ketat, namun seperti sedia maklum keputusan muktamad hanya terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kehadiran peminat ke stadium juga merancakkan kembali saingan Liga-M, sekali gus dapat menaikkan nilainya yang akhirnya mencapai pulangan atas pelaburan (ROI) lumayan.

Dilaporkan penaja utama Liga-M, Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi anak syarikatnya TM Multimedia akan mengurangkan kira-kira RM10 juta daripada jumlah tajaan, sementara CIMB Group Holdings Berhad akan menarik tajaan sejumlah RM2 juta sebagai penaja utama, saingan Liga Super 2021.

Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia AirAsia yang menjadi syarikat penerbangan rasmi eksklusif Liga-M 2019 hingga 2020, turut dilaporkan tidak akan melanjutkan kerjasama itu untuk musim berikutnya.

Bagaimanapun, Bernama difahamkan masih tiada bukti hitam putih mengenai dakwaan pengurangan jumlah tajaan dan penarikan diri penaja, malah berdasarkan semakan dibuat mendapati badan pengelola Liga-M itu masih menampilkan logo syarikat tersebut, dalam hantaran terbaharu di laman rasmi MFL.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *