Terengganu Umum Inisiatif Khas COVID-19 Dengan Peruntukan RM34.32 Juta

Spread the love

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu hari ini mengumumkan Inisiatif Khas COVID-19 dengan peruntukan berjumlah RM34.32 juta melalui pelaksanaan lima inisiatif dalam usaha membantu rakyat yang terkesan susulan pandemik itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melalui inisiatif berkenaan, seramai 48,500 isi rumah golongan B40 akan menerima bantuan tunai Cakna Rakyat Terengganu sebanyak RM200 secara sekali bayar membabitkan peruntukan RM9.7 juta.

Katanya, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi bantuan persekolahan, RM5 juta bagi Tabung Darul Iman dan RM3.5 juta untuk Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kerajaan negeri juga memahami tekanan yang dihadapi oleh peniaga kecil dan penjaja. Dengan ini kerajaan negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021.

“Kerajaan negeri turut tidak melupakan kebajikan golongan warga emas. Untuk itu, kerajaan akan melaksana program Pencen Rakyat dengan pembayaran RM600 secara sekali bayar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 bertema ‘Melestarikan Kesejahteraan Bersama’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata sebanyak RM7.52 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehgajian golongan graduan, penganggur dan pekerja yang terjejas akibat diberhentikan, diberikan cuti tanpa gaji dan dipotong gaji.

Katanya, inisiatif berkenaan melibatkan program perantisan, latihan keusahawanan dan kursus jangka pendek yang dilaksanakan secara usaha sama dengan pelbagai pihak seperti Kursus Keusahawanan Terengganu, Program Latihan Terengganu (TTP) dan Program Peningkatan Skil Lepasan Sekolah Terengganu (TSEP-S).

Menurut beliau, kerajaan negeri turut mengumumkan inisiatif pusat bersepadu pemasaran produk PKS yang menawarkan pilihan pakej fleksibel dengan yuran rendah untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan PKS secara lebih bersepadu, yang diurus tenaga pakar dalam bidang pemasaran digital.

“Inisiatif ini melibatkan kuantum berjumlah RM1.5 juta termasuk RM400,000 bagi menaik taraf aplikasi GanuShop,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memberi pendidikan, latihan dan bimbingan pengurusan kewangan kepada individu dan isi rumah.

Ahmad Samsuri turut mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu bagi membantu rakyat membina rumah di kawasan tanah sendiri.

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memperuntukkan RM25.5 juta bagi menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman untuk golongan B40.

“Kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM16 juta untuk melaksana Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera di seluruh DUN Terengganu bagi membaik pulih rumah yang mengalami kerosakan,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *