Projek Terdahulu Akan Terjejas Jika Perbelanjaan Pembangunan Dikurangkan – Mustapa

Spread the love

KUALA LUMPUR: Projek-projek terdahulu yang sedang berjalan akan terjejas dan mungkin tidak dapat diteruskan sekiranya perbelanjaan pembangunan Belanjawan 2021 dikurangkan dan disalurkan kepada tabung COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, Mustapa berkata masalah pandemik COVID-19 adalah dinamik, ia berubah pada setiap hari dan sekiranya wujud keperluan yang mendesak, kerajaan akan buat pertimbangan yang sewajarnya.

”Pembangunan ada empat komponen, pertama ialah projek-projek berdasarkan kepada strategi kerajaan membangunkan negara antaranya ialah dasar ekonomi baharu dan Wawasan Kemakmuran Bersama, kedua – pembangunan diperuntukkan mengikut pertimbangan tertentu,

“Ketiga – projek pembangunan adalah di bawah kerjasama awam dan swasta dan komponen keempat merangkumi peruntukan untuk projek pembangunan adalah bertujuan memulihkan beberapa institusi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Tabung Haji (TH) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mustapa berkata peruntukan bagi pembangunan juga adalah untuk meneruskan projek yang dimulakan pada Rancangan Malaysia Ke-11 maka ia tidak wajar untuk dihentikan kerana projek tersebut masih berjalan.

“Jadi, cadangan yang diberikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mungkin memberi implikasi sekiranya projek-projek yang sudah bermula dihentikan.

“Lebih daripada 100,000 kontraktor pembinaan dan kontraktor G1 sahaja sudah lebih daripada 50,000 terlibat dalam projek tesebut, justeru sekiranya ia dihentikan, mereka yang terlibat akan kehilangan kerja seterusnya menyebabkan negara tidak dapat membangun,” kata Mustapa.

–BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *