Majlis Khas MA63 Bersidang Kali Pertama 30 Nov – Ongkili

Spread the love

KUALA LUMPUR: Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditubuhkan bagi memelihara hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 akan bersidang buat pertama kali pada Isnin depan (30 Nov).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata majlis khas itu antara lain akan membincangkan cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini masih belum diputuskan oleh Majlis Khas kerana masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian yang luas terutama mengenai implikasi dari sudut perundangan sebelum sebarang keputusan mengenainya boleh dibuat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara lain yang akan dibincangkan ialah empat daripada 21 perkara dalam MA63 yang dianggap dalam penyelesaian dan memerlukan tindakan susulan untuk pelaksanaan termasuk penurunan kuasa asal kepada Mahkamah Sabah dan Sarawak.

Majlis khas itu juga akan membincangkan bidang kuasa asal Hakim Besar Sabah dan Sarawak, autonomi pentadbiran Mahkamah Sabah dan Sarawak serta pengalaman Kehakiman Borneo di Mahkamah Rayuan bagi mendengar kes difailkan di Borneo, Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman serta Duti setem yang dikenakan ke atas instrumen pemindahan, caj, menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sarawak dan Sabah.

Ongkili juga berkata terdapat baki empat perkara yang belum selesai dan memerlukan perbincangan berterusan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Menteri Sarawak dan Ketua Menteri Sabah secara berasingan.

“Royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan Hak Negeri ke atas Pelantar Benua, (perkara-perkara) ini akan terus diurus oleh Majlis Khas,” katanya.

Majlis Khas itu, yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dianggotai Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, menteri-menteri Kerajaan Persekutuan serta pegawai-pegawai tertinggi Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak, akan bersidang melalui sidang video susulan keadaan semasa penularan COVID-19.

Jemaah Menteri pada 9 Sept bersetuju dengan penubuhan Majlis Khas MA63 yang diumumkan sendiri oleh Muhyiddin semasa sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 Sept lepas.

Majlis Khas ini akan diurussetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS), yang bertanggungjawab memastikan isu-isu berkaitan MA63 dapat diselesai dan dilaksanakan dengan telus serta berkesan.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *