Kompleks Sukan Jasin Bernilai RM10 Juta Bakal Dibina Tahun Depan

Spread the love

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan membina sebuah Kompleks Sukan Jasin dengan kos bernilai RM10 juta yang dijangka bermula awal tahun depan, kata Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Beliau berkata projek pembangunan fasiliti sukan di Jasin Bestari dekat sini itu melibatkan kawasan seluas 1.61 hektar menerusi peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan tempoh pelaksanaan projek selama 12 bulan.

Katanya, kemudahan yang dibina di kompleks sukan berkenaan termasuk gelanggang futsal dan bola jaring, dewan tertutup menempatkan dua gelanggang badminton, auditorium berkapasiti 100 orang, asrama, pejabat pentadbiran dan kafeteria.

“Kompleks sukan di daerah Jasin itu dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada awal tahun 2022 sekali gus bakal memenuhi kehendak masyarakat setempat, khususnya golongan belia untuk menikmati kemudahan beriadah dan bersukan dengan lebih selesa.

“Kerajaan negeri juga sentiasa memantau keadaan kemudahan sukan yang ada di negeri ini supaya semua fasiliti dapat diselenggara atau ditambah baik agar dapat dimanfaatkan semua masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata terdapat dua kompleks sukan lain yang sedang dinaik taraf iaitu Kompleks Rakan Muda Alor Gajah di Alor Gajah dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka di Ayer Keroh.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka sedang menganjurkan Kejohanan Sukan Elektronik (e-sukan) PUBG Mobile Melaka 2020 secara dalam talian selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini.

Menurut beliau penganjuran e-sukan yang tidak memerlukan sebarang bayaran penyertaan itu bertujuan merancakkan pengisian aktiviti untuk golongan belia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut.

“Penyertaan peserta pada kejohanan ini amat memberangsangkan dengan 384 orang telah berdaftar untuk dua kategori iaitu solo dan skuad bagi merebut hadiah bernilai RM3,250.

“Orang ramai yang berminat menyertai kejohanan ini, mereka boleh melayari laman Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka untuk mendapatkan info lanjut,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa optimis memberi sokongan terhadap perkembangan penganjuran e-sukan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang berminat untuk menjadi penaja program sukan berkenaan pada masa akan datang.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *