RM200 Juta Pelan Pemulihan Pelancongan Termasuk Dalam Belanjawan 2021 – Nancy Shukri

Spread the love

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan amat serius dalam usahanya membantu pemain industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat COVID-19, untuk kelangsungan industri berkenaan.

Menurutnya ini terbukti melalui peruntukan untuk Pelan Pemulihan Pelancongan berjumlah RM200 juta dalam Belanjawan 2021, bagi membantu pemain industri pelancongan di negara ini yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.

Nancy menjelaskan walaupun peruntukan berkenaan tidak dinyatakan semasa pembentangan Belanjawan 2021, namun peruntukan berkenaan ada dalam Belanjawan 2021 yang dimaklumkan terus kepada kementeriannya.

“Ia bukan bajet tambahan, itu adalah memang bajet untuk pelancongan tahun 2021. Selain itu juga ada yang tidak disentuh dalam bajet juga, tidak disebut…kraftangan punya bajet…kalau tahun lepas kita hanya dapat RM57 juta, tapi untuk 2021 kita dapat RM91 juta.

“Dan juga untuk Aswara tidak disebut juga, dan semua bajet ini adalah penting untuk kita maklumkan kepada masyarakat, kerana ia memberi kesan kepada penggiat-penggiat industri terutama sekali dalam bidang pelancongan, dan untuk mereka yang terlibat dalam seni kraf tangan,” katanya dalam wawancara mengenai Belanjawan 2021 di sini hari ini.

Di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan itu, kementerian katanya akan melaksanakan beberapa inisiatif seperti diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej percutian keluarga, penyemarakan seni dan budaya, baucar penginapan dan kempen ‘Meet in Malaysia’.

Katanya disebabkan perkara-perkara berkenaan yang tidak disebutkan dalam belanjawan, beliau sedar dan mengambil maklum keluhan penggiat industri yang tidak berpuas hati, memandangkan sektor mereka tidak disebut secara langsung dalam belanjawan itu.

Disebabkan itu, Nancy berkata beberapa hari selepas pembentangan itu, beliau terus mengadakan sesi libat urus dengan penggiat industri pelancongan, bagi memberi penjelasan kepada mereka berhubung perkara berkenaan, sekali gus membincangkan usaha membantu mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan.

Jelasnya, antara tindakan segera yang akan diambil bagi membantu sektor pelancongan adalah mengadakan satu mesyuarat bersama Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat, antara lain bagi membincangkan isu-isu berkaitan Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA yang dibangkitkan oleh penggiat industri.

Ini seperti kesukaran untuk mendapatkan pinjaman, syarat-syarat permohonan yang ketat dan permohonan pinjaman ditolak, kerana industri pelancongan dikategorikan sebagai industri yang berisiko tinggi, katanya.

Berhubung usaha memulihkan industri pelancongan domestik, selain memberikan idea baharu kepada kerajaan bagi membenarkan aktiviti pelancongan antara kawasan hijau di negara ini, pihaknya juga kata beliau telah dan sedang melaksanakan pelan, yang mengandungi beberapa strategi utama untuk tujuan itu.

“Ia termasuklah dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan yang lebih kreatif dan menarik seperti menganjurkan pesta/ karnival pelancongan secara dalam talian, selain memberi keutamaan segmen yang telah dibenarkan oleh kerajaan seperti pelancongan kesihatan, taman tema, dan pelancongan MICE (Travel, Meeting, Incentive, Conference, Exhibition),” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan  2021 baru-baru ini, mengumumkan beberapa peruntukan untuk sektor pelancongan seperti RM50 juta bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara, selain Geran Khas Prihatin Tambahan RM1,000 kepada peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kemerosotan pelancong akibat COVID-19.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *