PruBSN Sumbang Lebih RM600,000 Tangani Gelombang Ketiga COVID-19 Di Sabah

Spread the love

KUALA LUMPUR: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melalui badan amalnya, PruBSN Prihatin telah menyumbang lebih RM600,000 daripada dana zakat, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menangani gelombang ketiga pandemik COVID-19 di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN dan Presiden PruBSN Prihatin Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata sumbangan keseluruhan bernilai RM609,000 itu akan digunakan untuk pembelian 17 mesin High-Flow Nasal Cannula tambahan, 700 unit kit ujian pantas, dan 5,000 set alat kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) iaitu gaun pakai buang dan penutup kepala kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 di negeri tersebut.

“Ketika negara dilanda gelombang kedua COVID-19 pada setengah tahun pertama yang lalu, PruBSN Prihatin juga telah menyalurkan bantuan kewangan lebih RM500,000 untuk membantu rakan strategik membeli barangan keperluan umum dan bekalan perubatan tambahan termasuk PPE yang diedarkan ke hospital kerajaan dan klinik daerah.

“Ia termasuklah pengedaran keperluan asas kepada komuniti B40 yang paling terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saifulrizal berkata pada bulan Mei yang lepas, Prudential adalah antara penyedia insurans dan operasi takaful yang terawal di Malaysia yang menawarkan perlindungan COVID-19 secara percuma bernilai lebih daripada RM2 juta kepada pelanggan dan bukan pelanggannya melalui aplikasi kesihatan digitalnya, Pulse by Prudential.

Beliau berkata Prudential Malaysia sentiasa memberikan sokongan secara berterusan dalam memastikan kesihatan dan keperluan perlindungan rakyat Malaysia sentiasa dipenuhi sepanjang tempoh ini.

Wan Saifulrizal berkata memandangkan komuniti di Sabah masih meneruskan perjuangan dalam menentang wabak ini, mereka berdiri teguh di samping para petugas barisan hadapan dan para pesakit secara khususnya dengan harapan untuk mengurangkan bebanan mereka dalam tempoh yang sukar ini.

“Kerjasama yang utuh dengan rakan-rakan strategik kami yang bereputasi tinggi telah membantu kami untuk menyalurkan bantuan bencana kepada pihak yang benar-benar memerlukannya. Kami berharap agar usaha ini menjadi teladan kepada pihak lain untuk membantu komuniti yang kurang bernasib baik sebanyak mungkin,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *