Ujian Saringan Di Penempatan Telipok Dan Kampung Numbak Bermula Esok

Spread the love

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan melaksanakan ujian saringan COVID-19 di Penempatan Telipok dan Kampung Numbak, yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata kedua-dua lokaliti itu telah diletakkan di bawah PKPD bermula semalam hingga 29 Nov ini.

“Ujian awal di Kampung Numbak terdapat 134 kes positif dan Penempatan Telipok sebanyak 207 kes positif. Kedua-dua lokaliti itu mempunyai penduduk yang padat iaitu berjumlah sekitar 21,000 orang,” katanya pada sidang media harian, di sini.

Masidi, yang juga jurucakap COVID-19 negeri, berkata berikutan ujian saringan itu, dijangka berlaku peningkatan jumlah positif kes COVID-19 bagi daerah Kota Kinabalu dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.

Terdahulu berdasarkan laporan JKNS, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah semalam ialah sebanyak 288 kes dengan jumlah kumulatif ialah sebanyak 23,383 kes.

Daerah Kota Kinabalu merekodkan sebanyak 86 kes diikuti Tawau (53 kes), Tuaran (30 kes) dan Penampang (24 kes).

Sabah turut mencatatkan empat kes kematian semalam iaitu masing-masing dua di daerah Kota Kinabalu dan Tawau.

Berkenaan PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh Kampung Matambai yang ditamatkan semalam seperti dijadualkan, Masidi berkata sidang khas Majlis Keselamatan Negara membuat keputusan itu atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun, kesemua penduduk di lokaliti itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata sehingga semalam sebanyak 173,658 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasaran.

Beliau berkata nilai bantuan bakul makanan itu juga akan dikaji bersesuaian dengan keperluan semasa.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *