RM700,000 Diperuntukkan Kepada 200 Peniaga Kecil Wanita Di Perak

Spread the love

IPOH: Sebanyak RM700,000 diperuntukkan kepada 200 peniaga kecil wanita di seluruh Perak bagi membantu golongan itu menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan yang diceburi.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata peruntukan berkenaan meliputi bantuan peralatan atau kemudahan perniagaan seperti peti pembeku, peti penyejuk, mesin jahit dan sebagainya.

“Kemudahan-kemudahan yang kita berikan ini berpandukan kepada permohonan mereka bersesuaian dengan jenis perniagaan kecil yang mereka jalankan.

“Tujuan utama kita adalah untuk membantu peniaga kecil ini untuk terus berjaya dan juga menggalakkan kaum wanita yang kehilangan pekerjaan akibat penularan COVID-19 untuk menceburi bidang perniagaan dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (Biznita) Negeri Perak di Dewan Sekolah Izzudin Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata peniaga yang menerima bantuan berkenaan juga akan dipantau oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perak dan Majlis Masyarakat Penyayang bagi memastikan perniagaan yang dilakukan berjalan lancar.

“Pemantauan ini terarah kepada bimbingan yang mana mereka ini sebagai peserta untuk pelbagai kursus seperti pembuatan, pengurusan kewangan, pengurusan stress dan sebagainya. Ini semua bertujuan untuk mereka uruskan perniagaan dengan berkesan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bantuan itu akan diteruskan pada masa akan datang bergantung kepada peruntukan yang diperoleh daripada pihak berwajib.

“Kita nak membantu seramai yang boleh bergantung kepada peruntukan yang ada dan juga permintaan kaum wanita di luar sana. Kita akan duduk dan berbincang semula dengan pihak yang terlibat dengan program ini,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *