PPRMS Bantu Pesara Polis Marin Dan Keluarga Tinggal Di Rumah Lebih Selesa

Spread the love

KUCHING: Keperitan hidup seorang anggota polis marin bersara dan keluarganya yang terpaksa tinggal di rumah mereka dengan bumbung yang bocor di Kampung Buntal di sini bakal berakhir tidak lama lagi.

Ini kerana Abdul Rahman Lee, 72, dan keluarganya adalah antara mereka yang menerima manfaat Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

“Keluarga saya berdepan masalah bumbung bocor sejak lima tahun lepas dan setiap kali hujan, kami terpaksa meletakkan lima hingga enam besen untuk menadah air yang menitik dari siling rumah.

“Terdapat kebocoran di semua tempat termasuk ruang tamu dan bilik tidur,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ke rumahnya yang sedang dibaik pulih di bawah program PPRMS.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata meskipun rumah itu dibina pada 2005, kebocoran bumbung adalah masalah biasa di kawasan pesisir pantai kerana ia diperbuat daripada besi dan mudah karat susulan terdedah kepada air masin.

Beliau berkata terdapat 43 kampung dan kawasan perumahan dalam Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, oleh itu, PPRMS hanya boleh dilaksanakan bagi membaik pulih tiga buah rumah dari setiap kampung pada setiap tahun.

Seorang lagi penerima manfaat di bawah program itu ialah Nasawazi Melayu, 43, seorang pengawal keselamatan, yang bakal merealisasikan impiannya untuk membina sebuah rumah buat keluarga.

Nasawazi berkata dia teringin memiliki rumah sendiri yang selesa untuk didiami keluarganya.

Sebelum ini, dia telah menyimpan wang dan membeli sebidang tanah namun susulan kekangan kewangan, impian itu terpaksa dilupakan buat sementara sehinggalah PPRMS diperkenalkan.

“Saya mempunyai seorang isteri dan dua anak berusia lingkungan 16 hingga 13 tahun. Sebelum ini, kami tinggal bersama keluarga mentua saya dan pada 2013, saya membeli sebidang tanah namun pada ketika itu, saya belum mampu membina rumah.

“Menerusi bantuan yang dihulurkan PPRMS, kami akhirnya akan dapat membina rumah impian kami,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *