Pelari Menara Malaysia Cuba Pecahkan Rekod Dunia Esok

Spread the love

KUALA LUMPUR: Pelari menara nombor dua dunia Soh Wai Ching akan melakukan cubaan mengatasi rekod ‘Guinness World Record (GWR) masa kini untuk cabaran pendakian tangga menegak terhebat dalam satu jam, bagi mengumpulkan dana untuk Persatuan Larian Menara Malaysia.

“Terdapat beberapa sebab saya lakukannya termasuklah mempromosikan Malaysia di mata dunia, mempromosikan sukan itu sendiri… untuk menarik lebih ramai orang menyertai sukan ini, selain mengutip dana untuk aktiviti persatuan tahun 2021.

“Menerusi cabaran ini, saya berharap akan lebih ramai lagi akan terus mencabar keupayaan masing-masing dan akhirnya membolehkan sukan ini diiktiraf dan diperkenalkan di Sukan Olimpik,” katanya yang juga Pengerusi persatuan itu kepada Bernama hari ini.

Pelari nombor satu Asia berusia 26 tahun itu, akan cuba mengatasi rekod GWR masa ini yang dipegang atlet dari Sepanyol David Robles Tapia dengan catatan 1.227 kilometer dalam masa sejam.

Cubaan itu akan dilakukan Soh dengan berlari memanjat 66 tingkat bangunan Hotel Four Seasons Place di Kuala Lumpur, sebanyak empat kali dalam tempoh sejam.

Pada cabaran itu, Soh akan berlari hingga ke tingkat 66 bangunan itu dan mengambil lif untuk ke tingkat bawah, sebelum berlari semula ke atas berulang kali dari jam 9 hingga 10 malam.

Sukan larian menara adalah sukan melibatkan larian memanjat struktur binaan manusia.

Kebiasaannya perlumbaan itu dibuat pada tangga bangunan tinggi, namun ia boleh juga dibuat melibatkan laluan yang menaik pada struktur binaan manusia.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *