Jenazah Allahyarham Hasbullah Akan Dikebumi Di Gerik Tengah Hari Ini

Spread the love

IPOH: Jenazah Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Raub, Pahang petang semalam, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang, Gerik sebelum atau selewat-lewatnya pada waktu Zohor hari ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Aznel Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu berkata, pihaknya dalam perjalanan ke Raub bagi tujuan membawa pulang jenazah Allahyarham Hasbullah.

“Sekiranya semua urusan selesai, pihak saya akan bertolak dari Raub pada 5 pagi dan apabila sampai ke Gerik, jenazah akan dibawa ke rumahnya di Kampung Ulu Kenderong, sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek dan kemudian dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Hasbullah, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik disahkan meninggal dunia pukul 7 petang semalam di Hospital Raub, selepas mendapat serangan jantung kira-kira 6.30 petang semasa berada di dalam kereta.

Allahyarham yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meninggalkan dua isteri, Datin Rosmawati Arifin dan Zaini Abu Bakar serta lapan orang anak dengan anak kelapan seorang bayi lelaki yang dilahirkan pada 9 Sept lepas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat rakyat Perak dan Parlimen Gerik khususnya, kerana jasa serta sumbangannya sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Gerik.

“Bagi pihak seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Perak, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

“Kita doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Saarani Mohamed berkata pihaknya akan mengingati arwah sebagai insan yang sangat akrab dengan rakyat, melalui program-program akar umbi.

“UMNO Perak telah kehilangan seorang sahabat yang selalu setia kepada perjuangan. Sebagai timbalan saya dalam Badan Perhubungan UMNO Perak, arwah bukan sahaja komited pada tugas, malah selalu tampil dengan idea-idea untuk sama-sama menguatkan UMNO sebagai parti yang berorientasikan rakyat,” katanya.

Turut mengucapkan takziah, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Perak Datuk Asmuni Awi yang turut mendoakan keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *