COVID-19: Pahang Salur Bantuan RM20.27 Juta

Spread the love

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang telah membelanjakan RM20.27 juta termasuk RM16.081 juta khusus untuk membantu meringankan beban rakyat negeri ini yang terkesan dengan pandemik wabak COVID-19 sejak awal tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemberian bantuan itu dibuat menerusi 22 inisiatif yang dijalankan menerusi lima fasa berbeza, antaranya pemberian bantuan tunai kepada 17,935 peniaga, penjaja dan pemandu teksi  berjumlah RM3.58 juta.

Selain itu, bantuan tunai berjumlah RM1.8 juta disalurkan kepada pemain industri pelancongan, usahawan mikro e-hailing, veteran tentera, bekas polis, anggota sukarelawan Rejimen 505 Askar Wataniah dan nelayan tidak berlesen.

“Jumlah ini juga meliputi peruntukan RM4.7 juta kepada petugas barisan hadapan di Pahang dalam penugasan menangani wabak ini selain pemberian insentif khas RM500 seorang kepada 98 petugas hospital dan klinik di Pahang yang ditugaskan ke Sabah,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’ di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.

Selain itu, Wan Rosdy berkata sebanyak RM4.744 juta pula telah dibelanjakan bagi pemberian tunai RM150 dan barangan makanan bernilai RM50 kepada 23,720 penerima menerusi pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan.

Manakala RM100 dan barangan keperluan RM50 diberikan kepada 3,975 masyarakat Orang Asli melibatkan jumlah keseluruhan RM596,000 selain bantuan tunai RM200 kepada 3,060 pelajar yang terkandas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau juga memaklumkan komitmen 4,589 penjawat awam Pahang yang secara sukarela memotong gaji selama enam bulan mulai April lalu, untuk disumbangkan ke Tabung COVID-19 Pahang berjaya mengumpulkan RM573,000.

Pada pembentangan itu, Wan Rosdy memaklumkan setakat Jumaat lalu, Pahang berjaya mengutip hasil sebanyak RM730.26 juta berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 98.15 peratus, manakala perbelanjaan kerajaan negeri pula adalah RM560.78 juta.

“Berdasarkan kadar kutipan hasil semasa, saya yakin kita mampu mencapai kutipan hasil melebihi 100 peratus menjelang hujung tahun ini. Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan dapat menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa kedudukan kewangan kita tidak kukuh,” katanya.

Kerajaan negeri juga, menurut Wan Rosdy mempunyai pelaburan deposit dalam institusi kewangan bernilai RM250 juta pada 2020 sekali gus menjadikan ia jumlah yang tertinggi dalam sejarah.  

Selain itu, beliau juga mengakui penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada kemajuan projek pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini, dengan kemajuan sebenar setakat Oktober lalu ialah 53.5 peratus.

Beliau, bagaimanapun, optimis pembinaan PPSAS yang sebelum ini dilaporkan bernilai RM415.52 juta dapat disiapkan pada tahun hadapan bagi memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada pelanggan dan suasana kerja lebih kondusif.

Menyentuh mengenai perkhidmatan bekalan air, Wan Rosdy berkata bekalan air di kawasan luar bandar telah mencapai 98 peratus dan 100 peratus di kawasan bandar, dengan peruntukan RM57.3 juta diperuntukkan pada tahun hadapan bagi tujuan perbekalan air.

Selain itu, pada tahun depan projek pembinaan sebuah loji rawatan air dan tangki air di Kuantan dijangka dimulakan bagi memenuhi keperluan bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng dengan anggaran kos projek keseluruhan RM619 juta.

Persidangan bersambung hari ini.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *