Ahli Parlimen Gerik Meninggal Dunia

Spread the love

IPOH: Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman, meninggal dunia di Raub, Pahang petang ini kerana sakit jantung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor Salbiah Mohamed ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata Hasbullah, 63, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Raub, Pahang.

Sementara itu, pegawai khas kepada Allahyarham, Siti Aminah Abu Mansor berkata pihaknya dimaklumkan Hasbullah tidak sedarkan diri susulan serangan jantung ketika berada di dalam kereta semasa di kampung isterinya di Raub kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Katanya, Hasbullah yang juga Ketua Bahagian UMNO Gerik, kemudian dikejarkan ke Hospital Raub sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam.

“Pejabat Ahli Parlimen Gerik dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pemandu Datuk (Hasbullah). Jenazah kini berada di hospital dan akan dibawa pulang ke Gerik selepas semua urusan berkaitan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini.

Allahyarham Hasbullah merupakan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2009.

Parlimen Gerik yang terletak di Hulu Perak mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu.

Allahyarham Hasbullah mula bertanding sebagai wakil rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004 di DUN Temenggor dan menang setelah mengalahkan Mohd Aun Yob Abas dari PKR dengan majoriti 4,666 undi, seterusnya mempertahankan kerusi itu semasa PRU12 dengan menewaskan Moon Akau dari PKR dengan majoriti 4,617 undi.

Pada PRU13, Allahyarham bertanding di kerusi Parlimen Gerik dan menang setelah menewaskan Norhayati Kasim dari PAS dengan majoriti 6,216 undi seterusnya sekali lagi mempertahankan kawasan itu pada PRU14 dengan majoriti 5,528 undi setelah mengalahkan calon PAS Mohd Dahalan Ismail.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *