Kerajaan Sarawak Laksana BKSS Bantu PKS Terjejas COVID-19

Spread the love

KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Rabu diberitahu kerajaan negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas oleh penularan COVID-19.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais berkata bantuan khas itu selari dengan inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disediakan kerajaan persekutuan.

Beliau menjawab serentak soalan Aidel Lariwoo (GPS-Sadong Jaya) dan Ripin Lamat (GPS-Lambir) berhubung usaha dan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu usahawan kecil dan sederhana semasa pandemik COVID-19 di sini.

Mohd Naroden berkata bantuan BKSS untuk usahawan itu dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan, terdiri daripada tambahan RM20 juta untuk Skim Kredit PKS dan penangguhan pembayaran balik pinjaman untuk Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) serta Skim Kredit Mikro Sarawak (SMCS) bagi tempoh Mac hingga Disember 2020.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga menyediakan subsidi faedah 3.5 tahun bagi SPIKS dan SMCS; subsidi faedah untuk Tabung Bantuan Khas bagi tempoh 3.5 tahun; geran khas RM2,250 untuk penjaja berdaftar dengan majlis berkuasa tempatan; bantuan RM500 secara sekali beri kepada pemandu e-hailing, pengajar memandu dan pengusaha bot tambang (penambang); bantuan RM600 secara sekali beri kepada pemandu, pengusaha teksi, van dan bas sekolah;  serta bantuan RM1,500 secara sekali beri kepada pemandu pelancong dan taman negara berdaftar.

Sementara itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee ketika menjawab soalan Datuk Idris Buang (GPS-Muara Tuang), berkata kerajaan negeri akan menambah lima buah mesin hemodialisis baharu dalam usaha menaik taraf pusat hemodialisis di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Beliau berkata dengan pertambahan mesin itu, pusat berkenaan akan mempunyai 20 unit mesin hemodialisis dan mampu menampung pertambahan bilangan pesakit buah pinggang di kawasan Samarahan.

Di samping itu katanya pihak Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF) turut bercadang membina sebuah kemudahan hemodialisis juga di Kota Samarahan.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *