Belanjawan Sarawak Berjumlah RM9.8 Bilion Pada Tahun Depan – Abang Johari

Spread the love

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan belanjawan berjumlah RM9.832 bilion bagi 2021 berikutan kerajaan negeri  akan memberi tumpuan yang berterusan kepada pembangunan pada tahun depan.

Menurutnya, walaupun dilanda pandemik COVID-19, kerajaan negeri masih berupaya menghasilkan bajet lebihan memandangkan ia menganggarkan perolehan Sarawak untuk mencecah RM10.012 bilion pada 2021.

“Dengan anggaran perolehan kira-kira RM10.012 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa yang dicadangkan sebanyak RM9.832 bilion, Belanjawan 2021 yang dicadangkan dijangka menjana lebihan sebanyak RM180 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, belanjawan tahun depan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan memandangkan sebanyak RM6.304 bilion atau 62 peratus telah dirancang untuk tujuan itu manakala jumlah selebihnya adalah bagi perbelanjaan operasi.

“(Kerajaan) negeri akan terus mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar untuk merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya dan menurutnya sebanyak RM4.251 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan berkenaan.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata, antara projek utama yang akan diberikan tumpuan dalam belanjawan itu adalah rangkaian jalan pesisir dengan peruntukan RM1.152 bilion, projek Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) (RM1.687 bilion) dan projek Agensi Pembangunan Wilayah bersepadu Samarahan (IRSDA) (RM792 juta).

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek itu akan membolehkan rakyat menikmati kemudahan dan infrastruktur awam yang lebih baik dan pada akhirnya, akan membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Selain itu, projek-projek ini juga akan mewujudkan impak pengganda kepada ekonomi tempatan, menjana ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan merangsang sektor pembinaan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, untuk tahun ke-18 berturut-turut, akaun kewangan negeri itu memperoleh pujian dan pengiktirafan pada tahun lepas, yang menunjukkan pengurusan kewangan negeri itu dijalankan dengan disiplin kewangan yang ketat dan berhemat secara berterusan.

“Di sebalik kritikan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab (sebelum ini) terhadap pentadbiran saya bahawa Sarawak akan bankrap dalam masa tiga tahun, kerajan negeri GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah menunjukkan kita mampu menguruskan sumber kewangan kita dengan berhemat, malah meningkatkan perolehan kita,” tambahnya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *