COVID-19 Sarawak: Satu Kes Baharu Dilaporkan Dari Daerah Kuching

Spread the love

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan satu kes baharu positif COVID-19 dari Daerah Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 769 kes.

Jelas JPBN Sarawak, kes yang ke-769 merupakan seorang wanita warganegara Indonesia yang tiba dari Kalimantan Barat, Indonesia melalui kebenaran di bawah Pendekatan Pelancongan Perubatan (Medical Tourism).

“Kes ini mendapat kebenaran masuk ke Sarawak sebagai pengiring kepada seorang pesakit barah yang perlu mendapat rawatan lanjut di sebuah hospital swasta di Kuching. Mereka telah masuk melalui pintu masuk persempadanan darat di ICQS Tebedu, Serian dan telah dibawa serta diuruskan oleh hospital swasta tersebut.

“Kedua-dua individu ini telah memasuki Sarawak pada 19 Oktober 2020 dan telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari sama. Mereka juga telah ditempatkan dibawah arahan kuaurantin di hospital yang akan merawat pesakit barah tersebut. Keputusan ujian saringan yang telah dijalankan di makmal swasta di Kuching telah mendapati kes ini positif COVID-19 pada hari yang sama,” kata JPBN Sarawak dalam satu kenyataan, Selasa.

Manakala, pesakit yang akan dirawat pula didapati negatif ujian saringan COVID-19.

Kes tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan kes telah dirujuk dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, JPBN Sarawak juga memaklumkan tiada kluster baharu yang dikesan pada Selasa.

Namun begitu terdapat dua (2) kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching dan Kluster Putra di Daerah Bintulu.

“Bagi Kluster Bah Arnab di Kuching, tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan melibatkan kluster ini. Jumlah kes positif melibatkan kluster ini kekal seramai 12 orang termasuk kes indeks. Sehingga 20 Oktober 2020, jam 12 tengah hari, sejumlah 40 individu telah disaring, dimana 12 kes dikesan positif COVID-19 di mana lapan (8) kes telah dikesan melalui saringan kali kedua pada hari ke-10 dan 28 individu negatif.

“Manakala bagi Kluster Putra di Daerah Bintulu pula, tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan melibatkan kluster ini kekal seramai enam (6) orang termasuk kes indeks. Satu (1) kes positif COVID-19 telah dikesan dan didaftarkan di Negeri Selangor. Sehingga 20 Oktober 2020, jam 12 tengah hari, sejumlah 190 individu telah disaring dimana enam (6) kes dikesan positif COVID-19 dan 183 individu negatif,” ujarnya.

Pada Ahad juga, Daerah Sibu telah bertukar status daripada status Kuning kepada Status Hijau setelah tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan di dalam daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Daerah Kuching, Bintulu dan Lubok Antu kekal berstatus Kuning dan dengan jumlah keseluruhan seramai 21 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Jumlah daerah yang masih berstatus Kuning adalah tiga (3) buah daerah dan 37 buah daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam status Hijau.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *