Pengeluaran Hidrogen Boleh Tingkatkan Nilai Eksport Sarawak – PENGERUSI SEDC

Spread the love

KUCHING: Sarawak akan dapat meningkatkan nilai eksportnya sekiranya dapat menghasilkan hidrogen pada kos yang lebih murah, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Hussain.

Pengerusi Pro-Tem Persatuan Hidrogen Sarawak berkata hidrogen diperlukan sebagai pangkalan untuk industri kimia dan Sarawak dapat mengeksportnya bagi penjanaan tenaga serta penggunaan industri selain penggunaannya dalam pengangkutan.

“Justeru, jika kita dapat menghasilkan hidrogen pada kadar murah, sudah pasti ia akan meningkatkan nilai eksport kita. Ini yang dikehendaki Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini, Sarawak dapat menghasilkan dua jenis hidrogen – hidrogen hijau yang berasal daripada tenaga hidro dan sumber lain boleh diperbaharui serta hidrogen biru, berasal daripada gas asli.

“Sarawak berada dalam kedudukan untuk menghasilkan dua jenis hidrogen, pada masa depan ia diperlukan dalam jumlah besar. Banyak permintaan terhadap hidrogen ini apabila semua orang beralih kepada kenderaan sel bahan api hidrogen,” katanya.

Sementara itu, mengenai bas menggunakan bahan api hidrogen di Kuching, Abdul Aziz berkata jumlah bas yang sedia ada perlu ditambah untuk menyediakan perkhidmatan di kawasan lain bandaraya itu.

“Ia sebenarnya bergantung kepada kerajaan negeri sama ada ia mahu menambah jumlah bas dan menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai di kawasan lain,” katanya.

Pelan itu juga adalah  untuk mengintegrasikan perkhidmatan bas hidrogen sebagai bas perantara kepada Transit Aliran Rel-Autonomi (ART) yang dicadangkan.

ART dijangka bermula pada tahun 2025.

“Apabila sistem pengangkutan awam ART siap yang juga akan menggunakan hidrogen, seterusnya kami akan menggunakan bas ini untuk menghubungkan ke bahagian lain di Kuching,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *