ISTAF Cadang Perkenal Sepak Takraw Dalam E-Sukan

Spread the love

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) bercadang untuk memperkenalkan sepak takraw sebagai cabang dalam sukan elektronik (e-sukan) pada masa depan.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata idea untuk memperkenalkan sukan tradisional ke platform digital itu tercetus berikutan situasi semasa pandemik COVID-19.

Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkata ISTAF akan mengadakan perbincangan bersama Persekutuan eSports Antarabangsa (IESF) di Korea Selatan dan Persekutuan eSports Global Singapura (GEF) mengenai perkara berkenaan.

“Kami juga mendapatkan maklumat daripada 50 ahli gabungan mengenai pelaksanaan e-sukan sepak takraw. Sebaik memuktamadkan perincian dengan IEF dan GEF, kami akan umumkan mekanisme serta format pertandingan e-sukan sepak takraw yang merangkumi acara beregu lelaki dan antara regu yang sering dipertandingkan,” katanya kepada Bernama.

Abdul Halim berkata sukan sepak takraw yang dimainkan secara dalam talian ini bukan sahaja tertumpu kepada pemain sepak takraw tapi juga terbuka kepada pemain profesional.

Beberapa sukan dimainkan secara dalam talian atau platform e-sukan seperti bola sepak, kriket dan permotoran termasuk Grand Prix Motosikal (MotoGP) dan Formula Satu (F1).

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *