Stesen TV Milik Rakyat Sarawak Mula Bersiaran

Spread the love

KUCHING: Stesen televisyen milik rakyat Sarawak bakal mencatat sejarah apabila ia mula bersiaran secara percubaan pada 10 Oktober 2020 bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Ke-84 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Stesen televisyen ini akan ke udara di saluran 122 Astro untuk tontonan seluruh negara.

Penubuhan stesen TV milik rakyat ini adalah cetusan idea daripada Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan didukung oleh YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg selaku Ketua Menteri Sarawak. Bermatlamat untuk memacu pertumbuhan industri media kreatif tempatan, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengamanahkan syarikat milik kerajaan iaitu Sarawak Media Group (SMG) untuk merintis Sarawak sebagai hab media di rantau ini. Stesen TV ini juga bertindak sebagai platform kepada bakat-bakat kreatif muda untuk mewujudkan nilai komersil yang lebih meluas kepada para penonton.

Bakal dikenali umum sebagai TVS, ia menjanjikan rancangan-rancangan yang segar dan menginspirasikan dunia anda. Bertemakan ‘Fresh & Inspiring’, TVS akan memastikan anda ’terus terhibur’ dengan kepelbagaian rancangan berbentuk drama bersiri, telemovie, dokumentari, bual bicara, animasi dan banyak lagi. Para penggiat industri media kreatif dan penerbit rancangan tempatan juga dijemput untuk berkarya serta menyampaikan penceritaan kandungan tempatan secara menyeluruh melalui kerjasama dengan TVS.

“Kewujudan TVS dapat mempersembahkan aspek kesenian dan kebudayaan rakyat Sarawak dengan lebih meluas terutamanya kepada penonton luar daripada Sarawak, ” kata YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak, semasa lawatan dari Sibu ke Kapit baru-baru ini.

Setakat ini, siaran TVS juga boleh ditonton melalui Astro NJOI, Astro GO dan akan datang bersiaran menerusi MyTV.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *