Dana Untuk Bina Semula Rumah Panjang Labang Diluluskan

Spread the love

BINTANGOR: Berita gembira kepada penduduk Rumah Panjang Labang selepas Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina semula rumah panjang berkenaan yang terbakar pada 2018.

Menurut Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin, projek bina semula rumah tersebut adalah inisiatif di bawah Program Bantuan Ihsan Rumah Terbakar Kerajaan Negeri dengan kadar diluluskan sebanyak RM50,000 sepintu yang meliputi 34 pintu.

Seperti yang dipetik dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pelaksanaan projek itu katanya akan bermula tidak lama lagi setelah semua urusan reka bentuk dan urusan perolehan telah siap diuruskan oleh pihak JKR Sarikei dan akan mengadakan perbincangan dengan penduduk rumah panjang.

Sehubungan itu, beliau memohon agar para penduduk dapat bersabar dan memberi kerjasama yang penuh kepada pihak JKR Sarikei apabila projek bermula kelak supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan lancar dengan harapan dapat disiapkan sebelum sambutan Hari Gawai tahun depan.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Labang Jawa dalam ucapan mewakili para penduduk merakamkan rasa gembira dan lega dengan berita gembira yang telah disampaikan kerana buat masa ini mereka masih lagi tinggal di kediaman sementara yang agak kurang selesa.

Mewakili para penghuni, beliau merakamkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing atas bantuan dan keprihatinan terhadap nasib mereka.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *