Kerajaan Sedia Kaji Semula Dasar Industri Pembalakan – Abang Johari

Spread the love

SIBU: Kerajaan Sarawak bersedia untuk mengkaji semula dasar industri pembalakan dalam usaha membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kalau mahu menstruktur semula industri pembalakan Sarawak, kita boleh struktur semula,” katanya yang juga Yang Dipertua Parti PBB ketika berucap merasmikan Konvensyen Khas Parti PBB Zon Tengah di sini, Sabtu.

Abang Johari memberitahu, penstrukturan semula itu termasuk memastikan pemegang lesen pembalakan di Sarawak memenuhi komitmen mereka untuk menanam semula hutan yang telah diterokai dengan pokok-pokok yang boleh mendatangkan hasil pendapatan.

Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Sarawak akan membuat kajian menyeluruh sebelum penstrukturan semula dasar itu dilaksanakan.

“Dari sudut lesen, ada di bawah Yayasan Sarawak dan STIDC (Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak), mungkin kita timbang kumpulan sasar yang boleh memegang saham dalam industri pembalakan,” ujarnya.

Senada dengan Abang Johari, Ketua Wanita Parti PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah menerusi usulnya mahukan penggubalan semula dasar mengenai hasil sumber asli yang kaya di Zon Tengah seperti hutan, kayu, arang batu, pasir dan hidro agar lebih menguntungkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *